Ahad, 16 Oktober 2016 | 12:07am
Sempadan Kedah yang terletak di utara negeri Perak.
Papan tanda jadi pemisah sempadan Pulau Pinang dan Perak.
Sungai Kerian menjadi sumber utama pengairan sawah daerah Kerian.

Kerian menjadi titik sempadan Perak, Kedah, Pulau Pinang


Empangan Ampang Jajar sering menjadi tumpuan pelawat.

DAERAH Kerian dianggap unik kerana kedudukannya yang menjadi titik sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Apabila dilukis garisan supaya jelas kelihatan persempadanan itu, turut berkongsi keunikan ialah Sungai Kerian yang dianggap lebih tepat untuk menunjukkan garisan sempadannya.

Kerian terletak di utara negeri Perak bersempadan dengan daerah Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah. Di sebelah timur dan selatan, Kerian bersempadan dengan daerah Larut, Matang dan Selama, manakala Selat Melaka di bahagian barat.

Hulu Sungai Kerian terletak di Selama, manakala kuala Sungai Kerian adalah di Kampung Acheh, dalam daerah Seberang Perai Selatan.

Dikenali Jelapang Padi Perak


Persimpangan jalan ke taman rekreasi terletak bersebelahan Empangan Ampang Jajar Kerian.

Jika ingin berkunjung ke Kerian dan melihat sendiri keistimewaan Sungai Kerian, anda perlu keluar dari Plaza Tol Taiping Utara menuju ke Gunung Semanggol dan Kuala Selinsing, atau Plaza Tol Bandar Baharu dengan mengambil jalan menuju Parit Buntar atau Bagan Serai.

Kerian juga dikenali sebagai Jelapang Padi Negeri Perak kerana terdapat kawasan penanaman padi yang luas.

Empangan Ampang Jajar Kerian dibina untuk memudahkan kawalan air masuk dan keluar dari sawah. Beberapa bahagian di daerah ini kerap mengalami masalah banjir apabila air laut melimpah ketika musim tengkuju.

Selain itu, ramai penduduk bekerja sebagai nelayan terutama di Sungai Acheh, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Daerah ini juga terkenal dengan penempatan masyarakat Melayu berketurunan Banjar terutama di sekitar Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Alor Pongsu yang mempunyai keunikan budaya serta amalan.

Destinasi pencinta burung

Apabila berkunjung ke Kerian, jangan lepaskan peluang bertandang ke beberapa destinasi pelancongan popular seperti Kolam Ikan Arowana Bukit Merah.

Selain itu, luangkan masa berkunjung ke Kuala Gula Bird Sanctuary Resort. Destinasi ini adalah lubuk kepada pencinta burung apabila sebahagian Hutan Simpan Matang di kawasan ini terdiri daripada hutan paya bakau seperti pokok api-api selain menjadi adalah habitat semula jadi pelbagai hidupan marin serta menarik perhatian burung upih serta botak kecil.

Justeru, Kerian mahupun Sungai Kerian adalah tinggalan warisan yang perlu dipelihara apabila ia menyumbang kepada eko-pelancongan negeri Perak.

FAKTA NOMBOR

  • 1973 - Empangan Ampang Jajar Kerian dibina
  • 90 km - Panjang Sungai Kerian
  • 921.47 km persegi - keluasan Daerah Kerian
  • 50 meter - ketinggian Kerian dari aras laut.
Berita Harian X