Sabtu, 15 Oktober 2016 | 2:19pm

Razie, Nabil sertai skuad ke Trofi Juara-Juara Asia

LAMAN Facebook Malaysian Hockey Confederation di https://www.facebook.com/MalaysianHockeyConfederation/

KUALA LUMPUR: Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor akan mengetuai cabaran skuad hoki kebangsaan pada saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia, di Kuantan bermula Khamis ini.

Sebelum ini timbul tanda tanya mengenai kehadiran kapten dan penolong kapten pasukan negara itu susulan terikat dengan komitmen perlu menjalani kursus latihan asas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, kedua-duanya akhirnya dilihat menyertai 18 pemain lain yang bertolak ke Kuantan, sebentar tadi.

Perkara itu disahkan naib presiden badan induk itu, Datuk Ow Soon Kooi sebentar tadi, bagaimanapun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk memutuskan dua pemain terakhir yang akan digugurkan nanti.

Katanya, status pemain yang akan menjadi 'mangsa korban' itu akan ditentukan sepenuhnya oleh pengendali skuad negara Stephen Van Huizen, Isnin ini termasuk perlu mengambil kira kecederaan penyerang Rashid Baharom dan Izad Hakimi Jamaluddin (pertahanan).

Hanya 18 pemain terbaik saja akan beraksi pada edisi ketiga saingan QNET Trofi Juara-Juara Asia yang turut menyaksikan penyertaan India, Korea Selatan, Jepun, China dan Pakistan.

Penyerang sensasi, Faizal Saari juga kelihatan dalam majlis pertemuan pemain bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal di perkarangan Stadium Tun Razak, Jalan Duta, sebentar tadi.

Senarai awal 20 pemain

S Kumar, Hafizuddin Othman, Hairi Abd Rahman (penjaga gol);

Razie Abd Rahim, Izad Hakimi Jamaluddin, Najib Abu Hassan, Sukri Mutalib, Najmi Farizal Jazlan, Faiz Helmi Jali (pertahanan); Nabil Fiqri Mohd Noor, Azri Hassan, Joel Van Huizen, Nik Mohammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhamad Azuan Hasan, Fitri Saari (tengah); Faizal Saari, Firhan Ashari, Haziq Samsul, Rashid Baharom, Shahril Saabah

Berita Harian X