Sabtu, 15 Oktober 2016 | 1:13pm

Nad Zainal selamat lahirkan anak lelaki

KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal, 26 selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.09 kilogram di sebuah pusat perubatan, di sini, kira-kira jam 11.38 malam tadi.

Suaminya, Muhamad Faliq Amirudin berkata, Nad melahirkan bayi sulung mereka secara pembedahan kerana berdepan sedikit kompilasi, namun bersyukur apabila semuanya selamat.

"Nad tidak dapat bersalin secara normal kerana mengalami sedikit kompilasi dan doktor menasihatkannya supaya menjalani pembedahan. Alhamdulillah, kedua-dua ibu dan bayi sihat.

"Isteri saya begitu tenang sebelum menjalani pembedahan dan kini sedang berehat. Nad juga begitu kuat, malah sempat bergurau senda dengan doktor yang menyambut kelahiran bayi kami," katanya.

Berita gembira itu terlebih dulu dikongsi Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, menerusi akaun Instagram miliknya apabila memuat naik foto Faliq bersama bayi mereka yang diberi nama Fahad Ibrahim.

Nad dan Faliq mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 18 Disember lalu.

31 dibaca
Berita Harian X