Jumaat, 14 Oktober 2016 | 7:14pm
SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu dilanggar sebuah lori lain sebelum terbabas ke parit sedalam 10 meter di Kilometer 440.7 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Pemandu maut lori masuk parit


SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu dilanggar sebuah lori lain sebelum terbabas ke parit sedalam 10 meter di Kilometer 440.7 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

GOMBAK: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu dilanggar sebuah lori lain sebelum terbabas dan terperosok ke parit sedalam 10 meter di Kilometer 440.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 9.56 pagi, mangsa V Aramugam, 64, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala, pemandu sebuah lagi lori, Muhamad Al-Fattaah Burhan, 26, mengalami kecederaan di kepala selain luka di tangan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata nahas dipercayai berlaku apabila lori dipandu Aramugam yang membawa muatan batu kapur dilanggar lori lapan tan bermuatan palet besi dipandu Muhammad Al-Fataah ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.

Katanya, akibat perlanggaran itu kedua-dua lori berkenaan terbabas ke bahu jalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terperosok ke dalam parit yang berada di bahu kiri lebuh raya.

"Hasil siasatan di lokasi mendapati, keadaan jalan mempunyai tiga lorong sehala dan berselekoh.

"Keadaan cuaca ketika kejadian juga baik dengan permukaan jalan kering. Mayat mangsa yang berasal dari Sungkai, Perak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ali berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Sani Harul, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba Batu Arang dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.27 pagi.

Katanya, bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi menyelamat bermula sebaik anggota tiba di lokasi pada jam 9.56 pagi dan tamat pada 1.26 petang," katanya.

Berita Harian X