Khamis, 13 Oktober 2016 | 9:17pm

Petron perkenal kad prabayar untuk PKS


KETUA Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PETALING JAYA: Petron Malaysia melancarkan Kad Fleet Prabayar Petron bagi membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan perbelanjaan bahan api bulanan masing-masing.

Kad inovatif berkenaan memberikan kemudahan pembayaran melalui kad tambah nilai untuk pelanggan korporat syarikat minyak itu dan sesuai untuk PKS yang memiliki kurang daripada tujuh kenderaan.

Ketua Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali, berkata Kad Fleet Prabayar Petron adalah salah satu kaedah pembayaran paling selamat untuk membayar bahan api kerana dilindungi oleh teknologi cip mikro dan nombor pengenalan peribadi (PIN).

Selain tahap keselamatan untuk setiap transaksi dapat ditingkatkan, katanya, pelanggan juga boleh menetapkan had minyak petrol atau kredit mereka sendiri, di samping mengawasi akaun bahan api secara dalam talian melalui sistem pengesanan masa sebenar.

"Sebagai sebahagian usaha Petron untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan, kami bangga memperkenalkan pilihan pembayaran yang inovatif ini untuk pelanggan. Misi kami adalah untuk membantu mereka menguruskan kenderaan dengan lebih baik melalui sistem pembayaran tanpa tunai.

"Kad prabayar kami mempunyai pelbagai manfaat seperti selamat, mudah, kawalan menyeluruh dan penerimaan mudah di mana-mana terminal bayaran," katanya pada pelancaran Kad Fleet Prabayar Petron di sini, hari ini.

Faridah berkata, bagi kemudahan pembayaran pelanggan, kad prabayar berkenaan boleh digunakan di terminal pam minyak yang terletak di luar atau melalui kaunter bayaran yang ada di kedai serba guna Treats Petron.

Bagi menambah nilai, beliau menjelaskan, pemegang kad berkenaan boleh menambah kredit melalui deposit tunai, bayaran cek atau melalui pemindahan Interbank Giro dalam talian setiap bulan atau seperti mana yang dikehendaki.

"Bayaran tambah nilai minimum adalah RM100," katanya.

Selain manfaat bayaran tanpa tunai, Faridah berkata, pemegang Kad Fleet Prabayar Petron juga boleh mendapatkan mata ganjaran Miles Petron setiap kali mereka mengisi bahan api.

Katanya, dengan menggunakan kad itu, pelanggan akan mendapat satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk mengisi bahan api.

"Bagi mendapatkan Kad Fleet Prabayar Petron, pelanggan perlu mengisi borang yang boleh didapati di mana-mana stesen minyak Petron.

"Borang perlu dikemukakan bersama dengan Borang Pendaftaran Perniagaan syarikat ke pejabat urusan Petron Malaysia. Ia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menerima kad atas setiap permohonan yang berjaya," katanya.

INFO

* 570 stesen Petron di seluruh negara

Berita Harian X