Khamis, 13 Oktober 2016 | 4:49pm

16,000 pengunjung hadir Program SL1M


ANTARA graduan yang hadir dengan menawarkan 10,000 peluang pekerjaan kepada graduan, pada majlis Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1 MALAYSIA (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada,Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

JOHOR BAHRU: Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat zon selatan yang kali pertama diadakan di negeri ini sejak penganjurannya pada tahun 2011 berjaya menarik kehadiran kira-kira 16,000 pengunjung. 

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata SL1M secara tidak langsung menjadi platform penting bagi membantu graduan meningkatkan tahap keupayaan diri mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung berupaya meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor mengikut kehendak pasaran, selain dapat melahirkan pekerja berkemahiran. 

"Buat kali pertama SL1M diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, membabitkan penyertaan 120 syarikat yang menawarkan 10,000 peluang latihan dan pekerjaan. 

"Kami mendapati sepanjang dua hari program SL1M ini, kebanyakan graduan mula berkumpul di hadapan Persada seawal jam 7.30 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang latihan dan pekerjaan ditawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

SL1M peringkat zon selatan selama dua hari berakhir hari ini, disertai 120 syarikat yang menawarkan 10,000 peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan daripada pelbagai peringkat kelulusan.

Berita Harian X