Khamis, 13 Oktober 2016 | 7:59am

Aston Villa lantik Steve Bruce ganti Di Matteo

PENGURUS baharu Aston Villa, Steve Bruce (kanan) bagi menggantikan tempat Roberto Di Matteo (kiri).

LONDON: Aston Villa melantik Steve Bruce sebagai pengurus baharu bagi pasukan yang beraksi dalam liga Kejuaraan itu.

Bruce menggantikan tempat Roberto Di Matteo yang sebelum ini membawa pasukan tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu dan kini berada di tangga ke-19 dalam kancah divisyen kedua itu.

Pengendali berusia 55 tahun itu menjadi pengurus tetap keempat dalam tempoh 12 bulan yang dilantik di Villa Park.

Bruce yang juga bekas pertahanan Manchester United, kembali memikul tugas pentadbiran selepas meletak jawatan di Hull Julai lalu, menunjukkan rekod yang baik apabila membantu Tigers kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris.

"Ia satu peluang yang menarik. Ia adalah salah satu kelab terbesar dalam negara ini. Ia sesuatu yang hebat apabila diberi peluang menguruskan pasukan ini," kata Bruce dalam laman web rasmi kelab itu.

"Saya teruja dengan cabaran dalam usaha membantu pasukan mencapai sasaran diinginkan dan cuba memulihkan kelab yang berdepan nasib kurang baik sejak beberapa tahun ini.

"Saya sememangnya gembira apabila diberikan peluang sebegini. Saya harap dapat bekerjasama dengan staf saya nanti."

Bruce yang pernah mengendali pasukan seteru Birmingham dari tahun 2001 hingga 2007, akan mengemudi pertembungan tetangga dengan Wolves tatkala Villa sedang berusaha menamatkan badi sembilan perlawanan tanpa kemenangan. - AFP

Berita Harian X