Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:02am
(DARI kanan) Muammer, Rifat, Mine dan Mesut.

Rakyat korban demi keluarga dan Erdogan


WARGA Turki yang setia kepada Erdogan keluar dan menyekat cubaan rampas kuasa di Ankara pada 15 Julai lalu.

"Berhenti. Hentikan perbuatan kamu yang silap ini. Ingat masa depan kita.

"Kami bercakap seperti juga yang bapa dan ibu kamu mahu cakap kepada kamu.

"Hentikan kegilaan ini. Pulang ke berek. Orang yang suruh kamu buat begini yang bersalah.

"Jangan tembak kami. Mengapa serang orang biasa. Kita sama-sama rakyat negara ini. Apa kamu buat adalah satu kesilapan."

Ini adalah beberapa daripada beribu-ribu laungan dihamburkan kepada askar Turki yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.

Laungan ini milik Rifat Ozer, 62; isterinya, Mine Ozer (61), Mesut Zeybek (36) dan Muammer Folat, 27.

Pada malam 15 Julai lalu, mereka keluar berdepan askar Turki yang cuba menggulingkan Presiden Recep Tayyib Erdogan di Ankara.

Keadaan yang sama dilihat di Istanbul.

Risikonya memang tinggi. Ramai yang jadi mangsa tembakan atau serpihan peluru askar yang melakukan rampasan kuasa.

Di akhir episod berdarah ini, 241 orang maut, kebanyakan orang awam selain polis dan tentera. Hampir 2,200 orang lagi cedera. Dua lokasi yang menjadi tumpuan penduduk ialah Parlimen Ankara dan jambatan Bosphorus, Istanbul.

Dikepung kereta kebal


AYATULLAH menunjukkan kecederaan di kakinya.

Bagi warga Istanbul, Ayatullah Oztekim, 24, dia pergi ke jambatan itu selepas melihat di televisyen askar menembak orang awam.

Dia kemudian kena tembakan yang menyebabkan luka besar di kakinya. Penduduk Turki berjuang untuk negara termasuk polis dan tentera yang setia.

"Kami sudah ada pemimpin yang baik iaitu Erdogan dan tidak akan menyerahkannya kepada perampas kuasa."

Di Ankara, bagi Rifat dan Mine, perbuatan yang didalangi Pertubuhan Pengganas Fetullah Gulen (FETO) memang wajar ditentang.

Menceritakan semula keadaan, Rifat berkata, dia pergi ke ibu pejabat parti AK pimpinan Erdogan selepas diminta oleh beliau antara jam 10.30 dan 11 malam.

Baring halang kereta kebal


PENDUDUK berbaring di jalan raya untuk menghalang kereta kebal meneruskan kemaraan.

Kemudian dia dan orang lain pergi ke kediaman Presiden yang mula dikepung kereta kebal. Mereka kemudian berbaring di jalan raya untuk menghalang kereta kebal itu meneruskan kemaraan.

Ada penduduk menghampiri kereta kebal itu dan menjerit kepada askar: "Kamu tak boleh serang. Jangan tembak. Kami seperti bapa kamu."

Bagaimanapun, ada askar serta helikopter melepaskan tembakan menyebabkan ramai maut dan cedera, kirakira 40 sehingga 50 orang.

Pengeboman juga dilakukan hingga jam 7 pagi.

FETO yang turut dibantu dari luar, menyerang ibu pejabat tentera dan polis. Turut merumitkan ialah ketiadaan ambulans untuk hantar mereka yang cedera ke hospital.

Bagi Muammer Polat, dia memutuskan untuk menyertai penentangan awam terhadap cubaan rampasan kuasa selepas mendapat tahu keadaan daripada kawan-kawan.

Sekalipun isteri memintanya tidak keluar rumah dia memutuskan untuk pergi kerana mahu negara selamat demi masa depan anak mereka.

Jerit letak senjata


TENTERA pemberontak akhirnya menyerah diri selepas menyedari rakyat tidak menyokong mereka.

Dia melihat askar di bawah arahan FETO di sekitar kediaman presiden yang mengacu senjata ke arah mereka ketika ramai mendekati kereta kebal.

Sekalipun menjerit supaya letak senjata, askar terbabit melepaskan tembakan ke arah orang ramai menyebabkan ramai cedera.

"Saya tidak mahu Turki jadi seperti Syria dan Mesir. Sebab takut keadaan itu berlaku di sini saya turut bersama orang lain. Allah SWT bantu kami menang," katanya.

Mesut menambah: "Saya memilih untuk mati (untuk negara) sekalipun perlu merangkak membantu bantahan.

"Kami jadi contoh kepada dunia bagaimana bersatu untuk hadapi masalah," katanya.

Bagi Mine, pengorbanannya untuk Turki adalah perlu kerana 'kalau tidak, protes cubaan rampasan kuasa, negara kacau bilau diwariskan untuk anak dan cucunya.'

Dia cedera parah selepas kena tiga tembakan di perut selain kena tembak di tangan, kaki, belakang badan dan pergelangan kaki.

Rifat pula kena tembak di kaki dan kena serpihan peluru di lutut dan belakang badan.

Mesut kena tembak di sembilan bahagian badan, empat peluru kena belakangnya dan satu peluru berada di belakang jantungnya.

Kesemua mereka berada antara dua minggu hingga lebih sebulan di hospital untuk rawatan dan pembedahan.

Kebangkitan rakyat Turki kali ini amat berbeza. Dalam cubaan rampasan kuasa sebelum ini, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Tetapi, mereka sanggup berkorban menghadapi tentera dan ejen FETO untuk menyelamatkan Erdogan sekali gus memastikan demokrasi dan masa depan terpelihara.

Berita Harian X