Rabu, 12 Oktober 2016 | 2:32pm

Kedah bersiap hadapi gelombang kedua air pasang besar


GELOMBANG kedua fenomena air pasang besar yang dijangka bermula Jumaat ini. - Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Kedah sudah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang besar yang dijangka bermula Jumaat ini, khususnya di kawasan sekitar pesisiran pantai Kuala Muda dan Pantai Murni di Yan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata kerajaan negeri bersama pelbagai bertanggungjawab sudah mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memantau lokasi berisiko.

"Kami menerima maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan beberapa langkah persediaan sudah digerakkan. Kami sudah mengenal pasti beberapa kawasan dan memberi makluman awal kepada penduduk supaya berpindah ke pusat pemindahan sekiranya air pasang besar melanda.

"Saya harap penduduk dapat memberi kerjasama kerana fenomena ini kita tidak dapat jangka. Mengambil kira kejadian lalu, paras air naik dengan cepat," katanya selepas merasmikan penutup Kursus Survival STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Berita Harian X