Rabu, 12 Oktober 2016 | 1:46pm

4 beranak ditahan edar syabu, heroin


HAMZAH (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah pangsa di Bandar Baru Ampang, semalam.

AMPANG JAYA: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka berusia 15 dan 17 tahun, antara lima yang ditahan kerana disyaki mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah pangsa di Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 35 dan 37 tahun, ditahan bersama heroin dan syabu seberat hampir sekilogram dan dianggarkan bernilai RM33,500.

Yang turut ditahan, seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga adik angkat suspek utama dan dipercayai tinggal bersama keluarga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata dadah ditemui dalam bilik utama dan bilik kedua rumah berkenaan.

"Keluarga itu dipercayai membungkus dadah berkenaan dalam paket kecil, antara 0.5 gram sehingga 5 gram setiap paket untuk pasaran sekitar daerah ini. Polis turut menemui beberapa alat untuk pembungkusan, termasuk penimbang dan alat perekat plastik.

"Setiap 0.5 gram syabu dijual pada harga sekitar RM100, manakala heroin dijual RM50 untuk setiap 3 gram. Kedua-dua anak suspek yang sudah tidak bersekolah, ditahan bagi membantu siasatan. Semua suspek direman enam hari sehingga 17 Oktober ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hamzah berkata, tiga suspek dewasa yang ditahan adalah penganggur dan semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes ceroboh, curi dan dadah.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah setahun menjalankan kegiatan menjual dadah secara kecil-kecilan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

37 dibaca
Berita Harian X