Rabu, 12 Oktober 2016 | 1:42pm

Sultan Johor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara hari ini. Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail (dua, kiri), Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (empat, kiri), Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (empat, kanan) dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri semua Raja Melayu dengan diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir diiringi Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan Jumaat ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15. Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan berakhir 12 Disember ini.

Berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada dalam giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik, berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah Raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan bertanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaan baginda untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan Raja kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulang untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran. - BERNAMA

5085 dibaca
Berita Harian X