Selasa, 11 Oktober 2016 | 9:32pm

Malaysia Airlines sedia mencarta pertumbuhan baharu


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) Peter Bellew (dua, kiri) menerima jersi pasukan Liverpool daripada Pengarah Komersial Liverpool FC Olly Dale (dua, kanan) pada majlis Taklimat MAB hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas menempuh dua tahun mencabar dan penstrukturan semula menyukarkan yang menyaksikan sahamnya dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia, Malaysia Airlines Bhd kini bersedia untuk mencarta pertumbuhan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew, berkata Malaysia Airlines kini sudah boleh berdiri sendiri dan tidak lagi perlu mendapatkan pembiayaan tambahan daripada Khazanah Nasional Bhd.

"Kami tiada cadangan dan tidak berhasrat untuk mendapatkan sebarang pembiayaan daripada Khazanah Nasional. Kita ada program yang sudah dipersetujui dan kita juga mencapai sasaran yang ditetapkan Khazanah," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman kerjasama antara Malaysia Airlines dan Liverpool FC di sini, hari ini.

Bellew berkata, syarikat penerbangan nasional itu ketika ini beroperasi dengan faktor muatan sehingga 73 peratus dan ia menyasarkan faktor muatan 80 peratus untuk tempoh 18 bulan akan datang.

"Tempahan bagi November dan Disember dilihat sangat baik. Kami menjangkakan lebih ramai pelancong tiba di negara ini bagi Januari hingga Mac tahun depan," katanya.

Beliau berkata, China adalah laluan paling sibuk dan pasaran paling kukuh bagi Malaysia Airlines ketika ini dengan kilometer tempat duduk tersedia dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh 18 bulan daripada enam peratus ketika ini.

"Sehubungan itu, syarikat sedang dalam proses mendapatkan lebih banyak slot penerbangan ke Beijing dan Shanghai. Pengumuman penting berhubungan pengembangan operasi ke China akan dibuat dalam tempoh terdekat. Saya kira anda akan agak terkejut nanti," katanya.

Mengenai segmen sewaan pesawat, Bellew berkata, pihaknya merancang untuk menyewakan enam pesawat A380 miliknya kepada syarikat penerbangan global mulai tahun depan, daripada menjual aset itu seperti perancangan awal, selain menyediakan anak kapal, serta kejuruteraan, teknikal dan sokongan latihan

Pesawat berbadan lebar jenis A380, katanya, dijangka kekal popular dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, dan ini baik bagi segmen sewaan kapal terbang.

"Pesawat A380 yang mudah diubah suai aturan tempat duduknya adalah popular dalam kalangan penyewa, khususnya bagi tujuan umrah.

"Pesawat A380 ditempah hampir setiap hari bagi tujuan umrah. Tiada apa, secara realitinya, dapat halang kita daripada beroperasi dari Afrika Utara ke Arab Saudi dan ke negara lain pada asas sewaan pesawat mulai 2018 dan berikutnya," katanya.

Info

Malaysia Airlines

* Ambil pelbagai langkah perlu bagi menambah baik produk yang ditawarkan dalam industri yang begitu kompetitif

* Ia termasuk melindung nilai harga bahan api bagi memberikan ketentuan berhubung kos operasi, memanfaatkan angkatan pesawat sedia ada dan meningkatkan kekerapan laluan yang menguntungkan

Berita Harian X