Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:55pm

Nenek parah ditimpa dahan reput


KEADAAN mangsa, L.Latchumy, 53, yang parah selepas dihempap dahan pokok durian yang tumbang ketika menunggang motosikal menuju ke rumahnya di Padang Kerbau, Durian Tunggal, Alor Gajah. - Foto Hayati Zainuddin

ALOR GAJAH: Seorang nenek yang sedang menunggang motosikal bersama cucu perempuannya parah selepas dahan reput dari sebatang pokok besar patah sebelum menimpanya di Jalan Padang Kerbau, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa N Latchumi, 53, mengalami kecederaan parah di kepala kini masih dirawat di Zon Merah, Hospital Melaka. Bagaimanapun, cucunya yang berusia lima tahun hanya mengalami luka kecil di bahagian bibir.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama cucunya dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Machap, di sini.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila dahan reput sebuah pokok tiba-tiba jatuh sebelum menimpa mangsa yang menunggang motosikal bersama cucunya di laluan berkenaan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala cucu perempuannya hanya mengalami kecederaan ringan dan luka di bahagian bibir," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

A Asmadi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X