Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:16pm

Audi Q7 kini hadir dengan varian 2.0 TFSI quattro


AUDI Q7 2.0 TFSI Quattro. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Audi Malaysia memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu, Audi Q7 2.0 TFSI Quattro, yang menggabungkan enjin petrol sebaris empat silinder 2.0 liter dengan pacuan semua roda kekal Quattro.

Ciri pacuan semua roda kekal Quattro sebelum ini hanya didapati dalam model dengan kapasiti enjin lebih besar.

Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter, berkata Audi Q7 baharu sentiasa menjadi kenderaan luar biasa dengan menggabungkan keupayaan laluan lasak sebuah SUV, kepelbagaian kenderaan keluarga dan prestij sebuah sedan eksekutif.

"Kami amat teruja memperkenalkan varian Q7 yang lebih ramping ini sebagai pengganti langsung untuk generasi pertama Audi Q7 3.0 Quattro.

"Kereta ini memberikan prestasi lebih baik dalam semua aspek dan pemanduan, kecekapan bahan api lebih baik, infotainment lengkap, kemudahan serta ciri keselamatan pada harga menarik bagi pemilik kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Di bahagian luar, Audi Q7 2.0 Quattro sama dengan varian 3.0 Liter, kecuali mempunyai reka bentuk rim aloi bersaiz 17 inci lima jejari, berbanding rim aluminium 20 inci untuk varian 3.0 Liter.

Menyerlahkan lagi kehalusan dan kekemasan reka bentuk Audi Q, bahagian depan kenderaan itu amat menarik perhatian dengan jeriji rangka tunggal serta lampu LED dan lampu LED nyalaan siang yang membentuk corak dua anak panah tersendiri.

Audi Q7 2.0 TFSI Quattro dijana kuasa enjin TFSI 2.0 liter yang menggabungkan enjin petrol empat silinder sebaris dengan suntikan terus bahan api dan ekzos pengecas gas turbo serta transmisi tiptronic 8-kelajuan.

Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 252 hp dan tork maksimum 370 Nm pada julat antara 1,600 hingga 4,500 rpm.

Konfigurasi itu membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 7.1 saat, 0.8 saat lebih pantas daripada varian Audi Q7 3.0 TFSI generasi sebelumnya.

Di sebalik keupayaan sporty yang dimilikinya, Audi Q7 2.0 TFSI Quattro baharu menawarkan penjimatan penggunaan bahan api yang baik, iaitu 7.4l/100 km dan dari segi kedudukan senarai pelepasan karbon dioksida (CO2) hanya 172 g/km.

INFO

Audi Q7 2.0 TFSI Quattro

* Model diimport sepenuhnya (CBU).

* Berharga dari RM 524.900

* Didatangkan dengan semua ciri elektronik dan mekanikal yang ditawarkan untuk varian 3.0 Liter

* Ia termasuk sistem hidup/henti dengan pemulihan tenaga, penunjuk kehilangan tekanan tayar, kawalan penurunan bukit, Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC) yang termasuk Kawalan Cengkaman (ASR), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), 'Electronic Differential Lock' (EDL) dan Sistem Brek Anti-kunci (ABS) serta lapan beg udara

* Tujuh pilihan warna - Glacier White, Floret Silver, Argus Brown, Ink Blue, Graphite Grey, Orca Black dan Daytona Grey khas dengan kesan mutiara.

* Boleh ditempah di semua pengedar sah Audi serta-merta.

Berita Harian X