Selasa, 11 Oktober 2016 | 10:13am
Sebahagian daripada 13 pemancing yang tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pagi tadi. - Foto Suzianah Jiffar

13 pemancing terkandas tiba di Pangkalan TLDM


Sebahagian daripada 13 pemancing yang tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pagi tadi. - Foto Suzianah Jiffar

KOTA KINABALU: Seramai 13 pemancing termasuk tekong dan dua awak-awak yang terkandas di perairan Pulau Mengalum sejak Ahad lalu, selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar, di sini, pagi ini.

Ketibaan kumpulan itu pada jam 8.15 pagi disambut Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, selain beberapa ahli keluarga mereka.

Ketika ditemui, Khairul Anuar berkata, kapal nelayan itu ditarik oleh Kapal Diraja (KD) Jerong dari perairan berhampiran Pulau Mantanani di Kota Belud sejak petang semalam.

"Kita bawa mereka ke sini bagi memudahkan rawatan sekiranya ada yang tidak sihat kerana di sini ada kemudahan kesihatan," katanya.

Mohd Zubil pula menasihatkan semua pemilik kapal agar memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) bagi memudahkan perhubungan sekiranya berhadapan masalah seperti kerosakan enjin, selain memastikan jaket keselamatan disediakan.

Laporan kehilangan kapal itu diterima malam kelmarin sebelum APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mengarahkan KD Jerong serta Kapal Maritim (KM) Memmon menjejaki bot berkenaan.

Kumpulan nelayan terbabit bertolak dari jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA) di sini untuk memancing di antara Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani pada jam 10 pagi Jumaat lalu. Mereka sepatutnya kembali ke pangkalan berkenaan pada jam 1 tengah hari kelmarin, namun terkandas.

Caption - Sebahagian daripada 13 pemancing yang tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pagi tadi. - Foto Suzianah Jiffar

12 dibaca
Berita Harian X