Isnin, 10 Oktober 2016 | 4:34pm

13 pemancing, kru kapal ditemui selamat


BOT dinaiki sekumpulan 13 nelayan ditemui di perairan berhampiran Pulau Mantanani, tengah hari tadi. - Foto ihsan APMM

KOTA KINABALU: Seramai 13 pemancing termasuk juragan dan dua kru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka tidak kembali ke pangkalan, di sini, semalam, ditemui selamat di perairan berhampiran Pulau Mantanani, Kota Belud, tengah hari tadi.

Bot pemancing terbabit dikesan kapal dagang dan kapal nelayan yang melalui kawasan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menggerakkan aset ke lokasi bagi mengesahkan penemuan terbabit.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya mendapatkan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menerbangkan helikopter ke lokasi bagi membuat pengesahan.

"Helikopter PDRM berlepas pada jam 12.20 tengah hari tadi dan mengesahkan iaitu berpandukan kepada saiz dan warna bot yang hilang itu berada di posisi dilaporkan pada jam 1.20 tengah hari tadi.

"Kapal Diraja (KD) Jerong milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kapal Maritim (KM) Memmon yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga digerakkan ke lokasi. KM Memmon tiba jam 2.15 petang.

"Anggota kita mengesahkan ia adalah bot yang hilang itu dengan semua pemancing dan krunya dilaporkan selamat serta dalam keadaan sihat," katanya di sini, sebentar tadi.

Mohd Zubil berkata, bot terbabit tidak kembali ke pangkalan seperti dijadualkan disebabkan kerosakan enjin sejak kelmarin, namun masalah itu tidak dapat dimaklumkan kepada pemilik bot di tanah besar berikutan tiada alat komunikasi.

Berita Harian X