Isnin, 10 Oktober 2016 | 4:04pm
JUMLAH stok minyak sawit Malaysia meningkat 5.67 peratus kepada 1.54 juta tan pada September berbanding 1.46 juta pada Ogos lalu. - Foto hiasan

Stok minyak sawit cecah 1.54 juta tan pada September

KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 5.67 peratus kepada 1.54 juta tan pada September berbanding 1.46 juta pada Ogos lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit mentah turut meningkat 18.02 peratus kepada 893,187 tan pada September daripada 757,789 tan pada akhir Ogos.

Bagaimanapun, stok minyak sawit siap diproses susut 7.54 peratus kepada 653,986 tan pada September berbanding 707,317 tan pada Ogos.

Pengeluaran minyak sawit mentah pada September pula menokok 0.78 peratus kepada 1.71 juta tan daripada 1.70 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran isirung sawit turut meningkat 6.16 peratus kepada 428,103 tan pada September daripada 403,245 tan pada Ogos.

Menurut MPOB, eksport minyak sawit bagi September berkurangan 20.42 peratus kepada 1.45 juta tan (Ogos sebanyak 1.82 juta tan); minyak isirung sawit susut 1.77 peratus kepada 70,476 (Ogos sebanyak 71,747 tan) dan hampas isirung sawit merosot 26.09 peratus kepada 154,949 tan (Ogos sebanyak 209,650 tan).

Eksport bagi oleokimia susut 0.43 peratus kepada 232,842 tan (Ogos sebanyak 233,839 tan) manakala biodiesel juga berkurangan 95.87 peratus kepada 443 tan berbanding (10,722 tan pada Ogos). - BERNAMA

Berita Harian X