Isnin, 10 Oktober 2016 | 9:41am
PENDEBAT IPGKIK A yang mewakili tuan rumah antara empat pasukan berentap dalam final Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2016 di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.- Foto ihsan IPGKIK

4 pasukan rebut kejuaraan DeTIK 2016

KUALA LUMPUR: Empat pasukan debat mewakili institusi pendidikan tinggi mara ke peringkat final Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2016 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, dekat sini, hari ini.

Sekretariat penganjur berkata, pasukan terbabit termasuk wakil tuan rumah iaitu IPGKIK A, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) A, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam B.

Juara bertahan, UIAM B tersekat di separuh akhir dan nasib sama menimpa naib juara, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) A.

Persidangan debat mengikut format Parlimen British mengetengahkan dua orang pendebat berhujah mewakili institusi masing-masing sebagai Kerajaan Pembuka, Kerajaan Penutup dan Pembangkang Pembuka serta Pembangkang Penutup.

Sebanyak 60 pasukan daripada universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Kolej Universiti, Politeknik dan Maahad Tahfiz bersidang dalam DeTIk 2016 bermula Jumaat lalu hingga hari ini.

Johan pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan tempat kedua menerima RM1,500.

Berita Harian X