Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:07am

J7 Prime utamakan prestasi dan mampu milik


SAMSUNG Galaxy J7 Prime.

PADA 28 September lalu, Samsung Malaysia Electronics memperkenalkan kehadiran ahli baharu dalam siri Galaxy J dikenali sebagai Samsung Galaxy J7 Prime.

Dengan moto, "Your New Bestie to Capture the Best Wefies" berjaya menarik perhatian penulis, apatah lagi harga yang ditawarkan adalah RM1,199, cukup mampu milik untuk menggantikan telefon pintar lama.

Walaupun spesifikasi dipaparkan laman web Samsung tidak menyeluruh dan kurang membantu, secara asasnya mereka menekankan ciri-ciri yang memberi kelebihan untuk aktiviti wefie berbanding prestasi sebenar telefon pintar itu.

Antaranya, dengan kapasiti bateri yang agak besar 3,300mAh, prestasi RAM 3GB disokong kapasiti storan 32GB binaan dalaman yang mana memorinya boleh dipertingkatkan kepada 256GB menggunakan kad microSD tambahan.

Keupayaan baterinya dikatakan mampu bertahan lebih lama menerusi Ultra Data Saving Mode (UDS), yang mampu memampatkan data dan aplikasi latar yang lebih ketat untuk mengelakkan penggunaan data yang sia-sia.

Selepas puas mengorek maklumat di laman web serta melihat sendiri produk itu di cawangan gergasi elektronik Korea Selatan itu di sebuah pusat membeli belah, akhirnya penulis bersedia untuk menyediakan lebih maklumat untuk pembaca.


GALAXY J7 Prime agak sesuai untuk pengguna yang inginkan prestasi telefon pertengahan dan mampu milik.

KEUPAYAAN bateri Galaxy J7 dikatakan mampu bertahan lebih lama menerusi Ultra Data Saving Mode (UDS).

Sepintas lalu, penulis mendapati Galaxy J7 Prime agak sesuai untuk pengguna yang inginkan prestasi telefon pertengahan dan mampu milik.

Spesifikasinya distruktur dengan tepat untuk golongan sasar seperti pelajar dan golongan muda apabila ciri-ciri utama yang ditekankan tertumpu kepada keupayaan rakaman.

Iaitu bagi kamera utama di bahagian belakang dilengkapi penderia 13 mega piksel (MP), bukaan f/1.9 dan 28mm, dengan keupayaan auto fokus dan lampu limpah LED, sebaliknya kamera hadapan pula berkeupayaan 8 MP dengan f/1.9.

Paparannya agak sederhana dengan skrin FHD TFT seluas 5.5 inci atau bagi pengguna lebih memahaminya sebagai skrin berkapasiti sesentuh LCD dan warna 16M.

Bagaimanapun penulis agak berpuas hati dengan prestasi telefon yang menggunakan prosesor lapan teras (Octa-core) 1.6 GHz Cortex-A53 bagi melancarkan sistem operasi Android Marshmallow.

Ciri-ciri lain yang turut dimuatkan dalam telefon pintar sebesar 151.5 milimeter (mm) x 74.9mm x 8mm itu adalah penderia imbasan jari, accelerometer dan proximity.

INFO:

  • Galaxy J7 Prime
  • RM1,199 (termasuk 6% GST)
  • Dua warna ditawarkan Putih Emas dan Hitam


KAMERA utama di bahagian belakang Galaxy J7 Prime dilengkapi penderia 13 mega piksel (MP), bukaan f/1.9 dan 28mm, dengan keupayaan auto fokus dan lampu limpah LED, sebaliknya kamera hadapan pula berkeupayaan 8 MP dengan f/1.9.

Berita Harian X