Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:01am

Sherry teringin watak jahat, detektif


ARTIS pelbagai bakat, Sherry Alhadad, 33, mengaku berikutan saiz badannya, kebanyakan tawaran lakonan dihulurkan kepadanya lebih kepada watak komedi.

Begitupun pelakon, pelawak dan pengacara ini enggan menyalahkan sesiapa dalam hal itu, sebaliknya berkeyakinan rezekinya dalam bidang seni tetap ada.

Ketika undangan berlakon agak perlahan, beliau yang memiliki berat 120 kilogram memanjatkan kesyukuran kerana peluang mengacara semakin banyak diterima.

Baru-baru ini, Sherry diberikan amanah mengacarakan Anugerah Planet Muzik 2016 di Singapura. Sebelum itu, beliau pernah bergelar hos Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Anugerah Lawak Warna 2015 dan Melodi. Mulai 1 Oktober lalu, beliau tampil dengan program travelog, Extreme Roadtrip pula.

Mengenai ketiadaan tawaran melakonkan watak lebih pelbagai, wanita ini percaya, semua itu berlaku berdasarkan logik.

SHERRY pada Sidang media Extreme Road Trip yang diadakan di Avenue K Shopping Mall. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sherry pada rakaman raya MHI Istimewa Aidilfitri di Kraftangan, Jalan Conlay. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Takkan penerbit atau pengarah ingin memberikan watak heroin atau puteri kepada mereka yang berbadan comel atau bertentangan dengan gambaran selalu dipaparkan? Jadi saya realistik. Malah, cikgu lakonan saya sejak dulu selalu berkata, pelakon perlu percaya terhadap instrumen fizikal dimilikinya, iaitu bentuk badan.

"Jadi sebagai pelakon, kita kena pandai adaptasi bentuk tubuh yang ada, sekali gus berusaha menjadi pelakon yang baik. Mungkin juga saya selalu berada di zon selesa dan menerima watak komedi, contohnya. Namun, sampai bila saya akan berlakon watak lawak semata-mata?

"Benar, memang kebiasaannya pengarah dan penerbit akan terfikir sisi komedi kalau mereka membayangkan saya. Lalu, saya sendiri kena pecahkan kebiasaan itu. Mungkin saya sendiri yang kena mengubahnya. Saya kena buat skrip atau menerbitkan sendiri watak diinginkan. Begitupun, sehingga saat ini saya tidak pernah menyesali apa yang berlaku. Rezeki itu tetap ada dan saya takkan mengalah," katanya.

Bercerita mengenai sisi komedi sering ditonjolkan, Sherry sendiri percaya, sebagai manusia biasa yang acap kali melakukan perkara sama, akhirnya beliau boleh mati akal juga.

Menurutnya, berlakon komedi turut memerlukan kreativiti kerana bimbang dicop mengulangi perkara sama setiap kali beraksi. Namun, ada masanya beliau turut menjadi buntu walaupun sudah 110 peratus komitmen diberikan kepada watak yang perlu dijayakan.

PENGACARA TV, Sherry Alhadad. - Foto Hazreen Mohamad

"Boleh terdiam sekejap kalau jadi macam itu. Apabila kita selalu mendapat watak sama, kita jadi tak seronok. Pada satu tahap, terdetik dalam hati, komedi apa lagi yang mahu dipaparkan? Begitupun di sebalik semua itu, saya tidak boleh berterusan menjadikannya alasan untuk mundur. Saya kena mencari penyelesaian atau alternatif komedi lain. Cuma, melahirkan komedi baharu atau segar bukan senang macam petik jari," katanya.

Seperti pelakon lain, Sherry mengaku dirinya turut mengidamkan watak berbeza seperti antagonis ataupun misteri. Katanya, watak seperti Mama Bosan dalam filem lakonan Imuda, Mat Gelap, antara yang menarik perhatiannya. Wanita ini turut mempunyai keinginan melakonkan watak detektif.

"Saya selalu baca di majalah, akhbar dan internet, ada pelakon yang nak berlakon watak 'gila'. Saya tak mahu watak begitu sebab saya seadanya pun memang sudah 'gila'.

"Kalau boleh saya impikan watak jahat, tetapi bukan yang klise. Saya teringin watak jahat yang tersirat, yang boleh membuatkan orang 'makan dalam'. Watak wanita yang nampak baik di depan, tetapi di belakang teramat jahat. Itu yang saya mahukan," katanya.

Ditanya mengenai usaha untuk mengurangkan berat badan, Sherry berkata beliau juga berkeinginan untuk tampak cantik seperti bintang wanita lain.

SHERRY Alhadad ketika bertemu di Teater Mencari Sumaiyah Istana Budaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Pada masa sama, ada yang berasakan dirinya perlu mengekalkan 'tanda dagang' dirinya sekarang.

"Namun, sampai bila saya hendak berada dalam zon selesa dan terus diberikan watak komedi? Malah, selepas mengacarakan program Extreme Roadtrip yang cukup mencabar, hati saya kembali terdetik, kenapa saya gemuk sangat?

"Program itu memerlukan saya mengacara di samping Elfira Loy dan Ardell Aryana. Selain itu, kami juga kena melakukan pelbagai cabaran dan sebahagiannya membuatkan saya jadi semput hingga rasa nak menangis. Ada rakaman dalam program itu yang menunjukkan saya menangis sebab berasa putus asa. Tetapi macam biasalah, apabila ada semangat nak kurus, ada saja 'syaitan' dalam diri yang menghasut cakap tak payah.

"Selepas selesai penggambaran program itu, memang saya mula terfikir, saya kena buat sesuatu terhadap saiz badan. Bukan apa, kalau berlaku kecemasan dan saya jatuh sakit, pasti ada orang kena angkat saya. Saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang ada. Mungkin saya sihat saja dengan saiz sekarang, tetapi kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan," katanya.

SHERRY Alhadad (kanan) pada pementasan teater muzikal Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. - Foto Saifullizan Tamadi

Berita Harian X