Ahad, 9 Oktober 2016 | 10:52pm

USIM lancar antologi puisi Maal Hijrah


DZULKIFLI (tiga dari kiri) melancarkan antologi puisi, Gema Puisi Maal Hijrah sambil diperhatikan Muhammad (dua dari kiri); Hassan (tiga dari kanan); Musa (empat dari kanan) dan Mohd Khair (kiri sekali).

KAJANG: Naskhah Gema Puisi Maal Hijrah yang mengangkat tema Maal Hijrah, dilancarkan di kediaman Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Muhammad Salleh di Impian Golf Resort, di sini, malam ini.

Diterbitkan Pusat Kebudayaan dan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), naskhah itu memuatkan 109 puisi yang mengupas pengertian hijrah berdasarkan maknanya yang lebih luas termasuk mengajak manusia berbuat baik.

Pelancarannya disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sambil disaksikan Muhammad.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Besarnya, Sakri Abdullah.

Gema Puisi Maal Hijrah suntingan Adiwangsa Sukma, Siso Kopratasa dan Rozihani Mohamad menghimpunkan puisi karya penulis muda, amatur dan tokoh penyair tanah air.

Selain pelancaran buku, turut diadakan ialah pelancaran Program Sembang Pohon Keranji, iaitu program wacana sastera dan budaya yang akan diadakan secara berkala serta pelancaran kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) yang memfokus kepada usaha membantu komuniti melalui gabungan sastera dan budaya.

Berita Harian X