Ahad, 9 Oktober 2016 | 7:47pm
PENYANYI popular, Anuar Zain bersama peminat ciliknya ketika memyampaikan lagu Andainya Takdir pada sesi bertemu peminat di Mydin Subang. - Foto Rohanis Shukri

Album kelima Anuar catat rekod peribadi


PENYANYI popular, Anuar Zain pada sesi pertemu peminat pada Siri jelajah album terbarunya di Mydin Subang. - Foto Rohanis Shukri

PETALING JAYA: Album solo kelima Anuar Zain mencatat rekod peribadi buat penyanyi itu apabila berjaya meraih jualan 9,000 unit sejak dipasarkan 1 Oktober lalu.

Menurut Anuar, angka terbabit sangat mengejutkan apatah lagi produk berkenaan memasuki pasaran ketika sambutan terhadap album tempatan kurang memberangsangkan.

"Sejak memasuki pasaran sembilan hari lalu, album ini sudah pun dijual sebanyak 9,000 unit. Jumlah ini mencatat rekod peribadi buat saya sepanjang bergelar penyanyi.

"Semua ini takkan berlaku tanpa kerjasama penaja dan semua pihak yang banyak membantu mempromosikannya," kata Anuar ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat di Subang Jaya, di sini petang ini.

Ditanya harapan beliau terhadap album terkininya yang sekali menggunakan namanya sendiri sebagai judul, Anuar mensasarkan jualannya dapat mencecah angka 22,000 unit.

"Kalau boleh memang nak cecah 22,000 unit, tetapi kalau dapat jual sebanyak 20,000 unit pun rasanya ia sudah memadai," katanya dalam nada teruja.

Menerusi album berkenaan, Anuar tampil bersama single pertama berjudul Andainya Takdir.

Berita Harian X