Ahad, 9 Oktober 2016 | 7:06pm

Kerajaan perlu kaji pengecualian GST kediaman


AGNES Wong. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KERAJAAN perlu mengkaji semula insentif pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk kediaman bagi memastikan harga rumah lebih rendah dan mampu dimiliki.   

Pengurus Syarikat Ong Group of Companies, Agnes Wong, berkata kajian semula insentif berkenaan penting untuk meneruskan kelangsungan dan memacu kembali pasaran hartanah Malaysia. 

Katanya, pengecualian GST kepada pembeli kediaman yang dilaksanakan ketika ini tidak menguntungkan, malah menyaksikan pemaju terpaksa menanggung kos binaan yang terangkum dalam sistem percukaian itu.   

"Memang benar pengecualian jika dilihat dari satu sudut memberi manfaat kepada pembeli. Tetapi hakikatnya tidak kerana pemaju masih menanggung GST untuk bahan binaan dan perkhidmatan lain.   

"Dengan kos GST yang perlu ditanggung, pemaju akan memindah kos berkenaan kepada pembeli menyaksikan harga kediaman menjadi lebih mahal.   

"Apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah mengubah insentif sedia ada kepada sifar GST yang mana manfaatnya akan dinikmati pemaju dan pembeli selain menjadi harga rumah lebih rendah," katanya ketika ditemui BH sempena pameran hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) di Balai Berita, hari ini.

Agnes  berkata, kerajaan juga perlu mengaktifkan semula insentif faedah pinjaman untuk dikira dalam cukai pendapatan yang mana ia dapat menggalakkan lebih ramai dapat membeli rumah.   

"Apabila faedah pinjaman dikira sebagai pengecualian dalam cukai pendapatan, ia menjadikan bayaran cukai pendapatan lebih rendah dan memberi nilai tambah kepada pembeli untuk membeli kediaman," katanya.   

Kerajaan juga katanya, perlu melihat semula kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) yang dianggap terlalu tinggi ketika ini.   

"Mungkin kerajaan perlu mengembalikan kadar asal iaitu 15 peratus RPGT untuk jualan hartanah di bawah tiga tahun pemilikannya," katanya.   

Mengenai pengetahuan berkenaan cukai hartanah, Agnes berkata, rakyat Malaysia masih kurang faham dan tersalah tafsir berhubung cukai berkaitan hartanah terutama berstatus komersial.   

"Pada mereka, harga sekaki persegi yang dibeli atau dijual adalah nilai yang dilupuskan atau yang perlu dibayar. Sedangkan cukai untuk hartanah merangkumi empat aspek iaitu GST, duti setem, cukai pendapatan dan RPGT.   

"MyRumah adalah platform penting untuk mendapat pengetahuan berkenaan pelbagai maklumat berkenaan hartanah. Malahan ia percuma. Jika menyertai persidangan berbayar anda perlu bayar sekurang-kurangnya RM600 untuk seorang speaker," katanya.

INFO:

Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) untuk rakyat Malaysia (individu)

  • 30 peratus - kediaman yang di jual kurang dari 3 tahun pemilikan
  • 20 peratus - kediaman yang dijual pada tahun keempat pemilikan
  • 15 peratus - kediaman yang dijual pada tahun kelima pemilikan
  • 0 peratus - kediaman yang dijual pada tahun keenam dan ke atas pemilikan.
Berita Harian X