Ahad, 9 Oktober 2016 | 5:28pm
PASUKAN berentap dalam Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2016 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto IPGKIK
SUASANA Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2016 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala LUmpur, hari ini. - Foto IPGKIK

Lapan pasukan mara ke separuh akhir DeTIK

KUALA LUMPUR: Lapan pasukan debat mewakili pelbagai institusi pendidikan tinggi mara ke peringkat separuh akhir Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK ) 2016 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, dekat sini, hari ini.

Pasukan itu adalah juara bertahan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) B dan naib Juara, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) A, selain tuan rumah, IPGKIK A, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) A, Universiti Malaya (UM) B, UIAM A, Universiti Teknologi Petronas (UTP) A dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam B.

Persidangan debat mengikut format Parlimen British mengetengahkan dua orang pendebat berhujah mewakili institusi masing-masing sebagai Kerajaan Pembuka, Kerajaan Penutup serta Pembangkang Pembuka dan Pembangkang Penutup.

Isu yang diperdebatkan dalam DeTIK 2016 yang juga buat kali ketiga dilangsungkan adalah Pendidikan dan Kepemimpinan Muda.

Ketua Hakim DeTIK 2016, Mohd Fahmy Abdullah, berkata pada tahun ini berlaku peningkatan terhadap keupayaan pendebat untuk menyampaikan hujah yang lebih berkesan dan bernas, selain menunjukkan kematangan dalam menghujahkan setiap usul yang diperdebatkan.

Sebanyak 60 pasukan daripada universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Kolej Universiti, Politeknik dan Maahad Tahfiz bersidang dalam DeTIk 2016 bermula Jumaat lalu hingga esok.

Pertandingan Akhir DeTIK 2016 akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, esok.

Antara rakan kolaborasi utama DeTIK kali ini adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Johan pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,500 kepada pemenang tempat kedua.

Berita Harian X