Ahad, 9 Oktober 2016 | 3:01pm

Rotavirus: Sah jangkitan berpunca air tercemar di BMLR


PEGAWAI kesihatan membuat pemantauan kolam tadahan dan tempat pembersihan di kawasan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR). - Foto IHSAN JKN

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan jangkitan rotavirus yang dihidapi beberapa kanak-kanak sebelum ini berpunca daripada air yang tercemar di taman tema air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).

Pengarahnya, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, berdasarkan analisa dan keputusan makmal sampel diambil daripada pesakit menunjukkan punca wabak berkemungkinan daripada air yang tercemar pada tarikh 24 September.

"Hampir semua pesakit memberikan sejarah melawat resort yang sama, oleh itu kita boleh mengatakan bahawa wabak itu disebabkan pendedahan air yang tercemar pada hari berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jabatan itu setakat ini selesai memantau wabak di taman tema air berkenaan kerana tiada lagi kes baharu dilaporkan.

"Tempoh pemantauan sudah selesai dengan mengambil kira tempoh jangkitan rotavirus antara dua jam hingga tiga hari dan jangkitan kali terakhir dilaporkan pada 1 Oktober lalu," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini berkata, semua sampel air yang diambil di taman air berkenaan pada 29 dan 30 September adalah negatif untuk virus.

Beliau berkata, keputusan negatif berkemungkinan disebabkan oleh pembersihan dan klorin yang sudah dijalankan oleh BMLR pada 24 September sebelum sampel air diambil oleh jabatan kesihatan.

18 dibaca
Berita Harian X