Sabtu, 8 Oktober 2016 | 7:48pm

TUBE lonjak prestasi usahawan muda


20 Peserta TUBE ketika Majlis Perasmian Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera kali ke 3 (TUBE 3.0) di Kem PLKN, Padang Kacong, Marang, Terengganu hari ini.

MARANG: Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diperkenalkan SME Corp Malaysia (SME Corp) mula menampakkan hasil apabila usahawan belia Terengganu mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM5.6 juta juta sepanjang hampir dua tahun ia dilaksanakan.

Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata melalui TUBE 1.0 yang membabitkan 114 peserta, sebanyak RM5.2 juta nilai jualan berjaya dikumpul sepanjang menjalankan perniagaan selama setahun.

Beliau berkata, bagi kumpulan TUBE 2.0 yang disertai seramai 50 orang, nilai jualan direkodkan ialah sebanyak RM400,000 untuk tempoh suku tahun kedua 2016.

"Program TUBE sudah memasuki kali ketiga pelaksanaan dan sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk menjayakan TUBE 3.0 di seluruh negara.

"Bagi Terengganu sahaja, sebanyak RM750,000 bantuan dalam bentuk geran disediakan untuk belia. Malah, trend penjanaan jualan yang menunjukkan peningkatan pada tahun kedua pelaksanaan ini berjaya mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan baharu kepada negeri ini oleh peserta TUBE.

"Perkara ini dilihat penting kerana peluang pekerjaan di sektor awam atau swasta secara relatifnya semakin mengecil dan berkurangan berbanding jumlah graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta," katannya selepas pelancaran TUBE 3.0 di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Kacong, di sini, hari ini.

Rizal berkata, kebanyakan usahawan belia mempunyai kekuatan jati diri, daya saing, ketelusan berurus niaga dan etika berniaga, serta semangat dan cita-cita tinggi untuk memasarkan hasil keluaran ke luar negara, namun faktor kurang arif berhubung prosedur, dasar serta cara yang betul untuk mengeksport, selain tidak mempunyai rangkaian perniagaan yang kukuh dan strategi pemasaran atau promosi lemah menyebabkan usaha itu gagal.

"Oleh itu, usahawan belia disaran untuk sentiasa proaktif mengenalpasti peluang baru di pasaran luar seperti ASEAN dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik semata-semata, selain peka untuk merebut pelbagai kemudahan dan pembiayaan disediakan pelbagai agensi kerajaan," katanya.

Berita Harian X