Sabtu, 8 Oktober 2016 | 2:40pm

SSM agih RM766,9000 zakat sepanjang tahun ini

ALOR SETAR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberikan zakat perniagaan 2015 berjumlah RM766,900 kepada golongan miskin dan fisabilillah yang diagihkan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner, berkata jumlah itu membabitkan RM176,700 kepada golongan fakir dan miskin, selain RM590,200 kepada fisabilillah.

Beliau berkata, antara golongan miskin yang menerima agihan zakat itu termasuk lima keluarga dan sebuah pusat tahfiz dengan jumlah sebanyak RM5,250 menerusi Program Kayuhan Amal dan Majlis Pengagihan Zakat Koporat SSM, pagi tadi.

"Melalui program ini, seramai 30 kakitangan SSM mengayuh basikal sejauh 18 kilometer bagi tujuan terbabit dari Aman Central ke beberapa buah rumah terbabit serta Pusat Tahfiz Darul Ulum Ihya Ulumuddin di Jalan Langgar, di sini.

"Zakat berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian diserahkan kepada empat keluarga terbabit manakala pusat tahfiz berkenaan pula menerima zakat fisabilillah berbentuk pemberian rehal dan barangan keperluan mengecat bangunan," katanya selepas menyampaikan zakat kepada keluarga Yahya Hanapiah di Kampung Derga, di sini, hari ini.

Pada masa sama Zahrah berkata, pemilihan golongan asnaf ini mendapat kelulusan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bagi memastikan penerima terdiri daripada golongan yang benar-benar layak menerima sumbangan zakat.

Berita Harian X