Sabtu, 8 Oktober 2016 | 9:44am

Lebih 20,000 jayakan Hari Sukan Negara di IPGKB


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bergambar bersama peserta acara berbasikal sempena Hari Sukan Negara di Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Lebih 20,000 peserta hadir bagi menjayakan Hari Sukan Negara di Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (IPGKB) di Pengkalan Chepa, dekat sini, hari ini.

Acara yang bermula jam 7.30 pagi tadi disertai pelajar IPGKB, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB) serta penduduk di sekitar Pengkalan Chepa.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Mohd Salleh Ramli.

Mustapa berkata, program seumpama itu memberi faedah kepada rakyat khususnya dalam membina masyarakat serta negara yang sihat.

"Saya ingin mengajak rakyat agar menjadikan senaman serta gaya hidup sihat ini sebagai agenda tetap dalam kehidupan.

"Lebih baik jika setiap orang bersenam 40 minit sehari, tiga kali seminggu supaya rakyat Malaysia kekal sihat," katanya ketika berucap selepas merasmikan Hari Sukan Negara.

Antara acara yang diadakan ialah Colour Run sejauh lima kilometer (km) yang julung kali diadakan di negeri ini, Fun Walk sejauh 3.6km, acara berbasikal sejauh 15 dan 30km serta acara senamrobik.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dengan jumlah hadiah yang disediakan bernilai RM20,000.

Berita Harian X