Sabtu, 8 Oktober 2016 | 12:08am
PENDAKAP gigi palsu boleh menyebabkan susunan dan pergerakan gigi tidak terkawal terutamanya pesakit yang mempunyai masalah maloklusi (gigi tidak teratur). - Foto hiasan

Pendakap gigi palsu sebabkan jangkitan kuman


KUALA LUMPUR: Amalan memakai pendakap gigi palsu yang dilihat sebagai satu gaya atau fesyen bagi golongan remaja boleh memberikan kesan buruk terhadap susunan dan kesihatan gigi termasuk meragut nyawa kerana mengandungi bahan terlarang.

Kandungan plumbum boleh menyebabkan alahan dan keracunan dan gam yang digunakan pula boleh menghakis permukaan gigi.

Komponen yang digunakan sebagai 'braket' boleh tertanggal dan pesakit akan mengalami kesusahan untuk bernafas.

Bukan itu saja, penggunaan pendakap gigi palsu boleh menambah kerosakan gigi seperti karies gigi, gigi berkalih dan gigi non vital.

Kesannya boleh menyebabkan berlaku gigi mati dan jangkitan kuman, berikutan tiada penyelenggaraan yang baik daripada doktor pakar pergigian ortodontik termasuk penjagaan kebersihan mulut.

MEREKA yang menggunakan pendakap gigi perlu membuat pemeriksaan lengkap, menganalisa rekod pesakit, menghasilkan diagnosis serta menilai dan merancang rawatan ortodontik yang sepatutnya. - Foto hiasan

TIMBALAN Dekan Akademik/Antarabangsa dan Pakar Pergigian Ortodontik, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Maryati Md Dasor.

Akar gigi jadi pendek

Timbalan Dekan Akademik/Antarabangsa dan Pakar Pergigian Ortodontik, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Maryati Md Dasor, berkata kebanyakan kes pendakap gigi palsu boleh menyebabkan susunan dan pergerakan gigi tidak terkawal terutamanya pesakit yang mempunyai masalah maloklusi (gigi tidak teratur).

"Bukan saja jenis bahan yang digunakan perlu selamat dan peralatan dinyah kuman atau steril tetapi tekanan pendakap gigi juga perlu mengikut tahap optima.

"Sekiranya tekanan ortodontik terlalu tinggi dan tidak terkawal, keadaan ini akan menyebabkan resopsi akar gigi (akar gigi menjadi pendek), kehilangan tulang alveolar, dan gigi longgar serta pergerakan tidak terkawal sehingga gigi terkeluar dari tulang alveolar," katanya.

Memasang pendakap gigi juga tidak semudah disangka dengan hanya melekatkan pendakap gigi, memasang wayar dan menyelaraskannya sebaliknya pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum pemasangan dibuat.

Ini termasuk pemeriksaan lengkap, menganalisa rekod pesakit, menghasilkan diagnosis serta menilai dan merancang rawatan ortodontik yang sepatutnya.

"Bukan semua orang memerlukan pendakap gigi atau memakainya semata-mata untuk bergaya kerana pemakaian sedemikian bertentangan dengan konsep rawatan ortodontik.

"Mereka yang memerlukan pendakap gigi adalah yang mempunyai masalah gigi jongang, mengalami gigitan terbuka atau tidak boleh menggigit di depan. Keadaan lain termasuk berlaku masalah gigitan bersilang akibat kemalangan atau masalah rahang.

"Masalah lain termasuk gigi berlapis dengan kesesakan teruk serta gigi yang tertanam dalam gusi," katanya.

Dr Maryati menjelaskan fakultinya menerima seramai 10 pesakit perempuan dalam lingkungan usia 20 tahun sepanjang tahun ini yang ingin mendapatkan rawatan ortodontik selepas mendapati mereka berdepan masalah akibat pendakap palsu.

PENGGUNAAN pendakap gigi palsu boleh menambah kerosakan gigi seperti karies gigi, gigi berkalih dan gigi non vital. - Foto hiasan

Banteras doktor palsu

Kebanyakannya mendapati susunan gigi semakin teruk dan mendakwa tidak menerima rawatan susulan berikutan 'doktor' mereka gagal dihubungi.

Bagaimanapun, pesakit digalakkan membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum rawatan selanjutnya diberikan.

"Cadangan ini bukan untuk menyukarkan mereka mendapat rawatan tetapi bertujuan memastikan pesakit prihatin terhadap isu ini.

"Cadangan ini juga membantu KKM mengenalpasti lokasi kegiatan perkhidmatan pendakap gigi palsu serta kes penipuan oleh doktor palsu.

"Tambahan pula tindakan undang-undang perlu dikenakan bagi menghalang doktor palsu daripada terus beroperasi," katanya yang berharap masyarakat terutama remaja membuka mata dengan kesan penggunaan pendakap gigi palsu.

Info

Harga pendakap gigi palsu:

* Serendah RM40

Harga pendakap gigi tulen di klinik swasta:

* Harga ditawarkan bermula RM4,000

Punca memilih pendakap palsu:

  • Murah
  • Pilihan warna dan rekabentuk pelbagai
  • Mengaitkan dengan aliran semasa/fesyen
  • Ingin rasa cantik
  • Terikut ikut rakan sebaya
  • Mahu diiktiraf dalam kumpulan rakan
  • Menggambarkan keadaan mampu milik

Berita Harian X