Jumaat, 7 Oktober 2016 | 3:27pm

TERAJU cipta peluang pelaburan, perniagaan RM93.85b


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - Foto Hafiz Sohaimi

TAWAU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mencipta peluang perniagaan dan pelaburan sebanyak RM93.85 bilion setakat 31 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang bertanggungjawab menyelia TERAJU, berkata jumlah itu diperoleh menerusi 27 program induk dan inisiatif yang dijalankan.

"Kejayaan besar ini adalah hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri dan agensinya serta agensi wilayah pembangunan koridor, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta, dengan matlamat utama memastikan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi lebih bermakna dan mampan.

"Pelaburan daripada Dana Mudahcara antara pelaburan swasta Bumiputera menerusi TERAJU dengan 432 projek diluluskan dalam program ini membabitkan nilai pelaburan RM12.59 bilion setakat 31 Ogos ini.

"Di Sabah, sejumlah RM99.35 juta jumlah Dana Mudahcara diluluskan bagi 41 projek dengan nilai pelaburan swasta sebanyak RM879.45 juta, merangkumi pelbagai sektor dan dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach TERAJU dan Engagement Dana Mudahcara Sipadan Mangrove Resort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat; Ketua Pegawai Eksekutif, TERAJU, Datuk Husni Salleh dan Pengarah Urusan SMR Aquaculture Sdn Bhd, John Nip Wing Hon.

Abdul Rahman berkata, TERAJU serta Lembaga Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA) melalui Dana Mudahcara Bumiputera ini, memberi insentif atau geran sebagai 'tipping point' kepada inisiatif pelaburan swasta hingga 15 peratus daripada jumlah nilai kos projek.

"Projek ladang solar milik SMR Aquaculture Sdn Bhd ini adalah antara projek yang menerima ganjaran ini," katanya.

Berita Harian X