Jumaat, 7 Oktober 2016 | 11:32am

Republik Czech harap keajaiban jumpa Jerman

JURULATIH Czech, Karel Jarolim. - Foto AFP

BERLIN: Jerman mahu menunjukkan keunggulan mereka pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Republik Czech yang mengharapkan 'sedikit keajaiban' menentang juara dunia itu, Ahad ini.

"Kami bermain menentang pasukan yang hanya boleh dikalahkan dalam keadaan luar biasa.

"Kami mengharapkan sedikit keajaiban," kata jurulatih Czech, Karel Jarolim kepada majalah Jerman, Kicker.

Jarolim berada dalam fasa membina semula pasukan tanpa beberapa pemain seperti perancang tengah veteran, Tomas Rosicky, legenda Arsenal yang kini bermain di Sparta Prague, dan penjaga gol The Gunners, Petr Cech.

Dua pemain sayap, Gebre Selassie dari Werder Bremen dan pemain Hoffenheim, Pavel Kaderabek beraksi dalam liga utama Jerman.

Penyerang berusia 20 tahun Sampdoria, Patrik Schick pula menetapkan untuk membuat penampilan kedua.

Czech terikat tanpa jaringan dengan Ireland Utara dalam perlawanan pembukaan kelayakan mereka di Prague pada 4 September lalu, malam yang sama ketika Jerman dinikmati kemenangan 3-0 ke atas Norway di gelanggang lawan yang menyaksikan Thomas Mueller menjaringkan dua gol.

Matlamat Jerman adalah untuk kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan menewaskan Czech, kemudian berdepan Ireland Utara, Rabu ini di Hanover.

"Kami mempunyai matlamat yang jelas untuk memimpin kumpulan," kata kapten Jerman, Manuel Neuer.

"Kami mempunyai dua perlawanan penting di hadapan dan kami mahu enam mata." - AFP

Berita Harian X