Jumaat, 7 Oktober 2016 | 9:28am

Kilang perabot musnah terbakar di Tampin

SEREMBAN: Sebuah kilang perabot di kawasan industri kecil Gunung Mas, Tampin musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Komandan operasi, S. Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.30 malam dan tiga jentera bersama 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Rembau dan Gemas dikejarkan ke tempat kejadian.

"Difahamkan kebakaran bermula dari kilang perabot itu sebelum merebak ke dua bengkel kenderaan bersebelahan. Ketika pasukan bomba sampai ke lokasi, api sedang marak, namun api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa sejam.

"Kita juga dapat menyelamatkan dua bengkel bersebelahan daripada terbakar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, turut musnah dalam kebakaran itu ialah perabot, mesin, peralatan dan jentera, kayu dan papan serta sebuah lori yang diletakkan di dalam kilang perabot tersebut.

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dullasi Nathan yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin berkata punca dan jumlah kerugian sedang disiasat. - BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X