Jumaat, 7 Oktober 2016 | 12:06am

Infak pelaburan terbaik dunia, akhirat


MEMBERI bantuan kepada saudara seagama terutama mangsa peperangan seperti pelarian Syria amat dituntut Islam. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Syaitan itu menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji (bakhil, kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 268)

Ayat ini memberi gambaran jelas mengenai peranan dan kegiatan syaitan. Makhluk ini menakutkan manusia dengan kepapaan dan kemiskinan terutama apabila memilih harta yang terbaik dan bermutu untuk diinfakkan.

Syaitan ialah makhluk Allah SWT yang kita tidak mengetahui adanya ia melalui pancaindera kita, tetapi melalui al-Quran dan sunah. Kita diberitahu bahawa syaitan adalah makhluk yang derhaka kepada Allah SWT. Al-Quran dan sunah juga memberitahu kita bahawa syaitan musuh manusia. Pertarungan dengan syaitan adalah sengit dan berterusan sehingga kiamat.

Syaitan menakutkan orang yang bersedekah dengan kemelaratan dan memujuk mereka supaya tamak dan kikir.

Manusia diberi bayangan bahawa menginfakkan harta sama seperti membuangnya begitu saja.

Perasaan takut yang dibisikkan syaitan ini dinamakan wa'd yang bermaksud memberitahu kejadian yang akan berlaku. Syaitan tidak menetapkan kemelaratan ini mesti menimpa penderma ini, tetapi menanamkan pengaruh terhasilnya kemelaratan itu sehingga ia seolah-olah terjadi.

Pulangan tiada tandingan

Syaitan berdusta apabila membisikkan infak membawa kemiskinan, sebaliknya ia menggerakkan ekonomi dalam kalangan masyarakat dan mengukuhkan kedudukannya, sekali gus semua pihak dalam masyarakat dapat mengambil faedah daripadanya.

Apabila Islam menyeru supaya memberi sedekah dan infak di jalan Allah SWT, sesungguhnya ia menyeru kepada pelaburan terbaik dan yang membawa pulangan yang tiada tandingannya lagi.

Syaitan menghasut manusia melakukan fahsya', iaitu perbuatan jahat yang melampaui batas, walaupun kata-kata ini kebanyakannya dipakai kepada kejahatan tertentu saja, namun ia meliputi segala jenis kejahatan.

Takut kepada kemiskinan mendorong orang Arab pada zaman jahiliah menanam anak perempuan mereka dan ini adalah suatu kejahatan.

Kaut untung menerusi riba

Tamak mengumpulkan harta kekayaan mendorong sesetengah mereka mengaut untung melalui riba juga adalah kejahatan. Begitu juga kejahatan kerana takut miskin dengan sebab infak kerana jalan Allah SWT.

Setiap amal yang baik selalu ada penghalang sama ada besar atau kecil. Penghalang infak yang utama ialah syaitan yang menakutkan manusia daripada kefakiran dan pada masa sama pula menyuruh manusia melakukan kejahatan.

Orang yang bakhil tidak lagi peka kepada hak orang lain dan sedia menzalimi hak orang miskin. Orang yang takutkan kemiskinan sehingga tidak membelanjakan harta lain akan menjadi miskin sebelum orang miskin.

Tiada beza individumiskin, berharta

Justeru, tiada bezanya antara individu yang mempunyai harta dengan orang miskin yang tiada harta, kedua-duanya tidak mendapat manfaat daripadanya.

Rahmat dan kurnia Allah SWT maha luas. Allah SWT akan menunaikan janji kepada hamba-Nya yang berupa keampunan dan gantian terhadap harta yang mereka dermakan.

Dia Maha Mengetahui derma kamu maka Dia tidak akan mensia-siakan pahala kamu, bahkan diberi ganjaran sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah SAW: "Pada setiap hari ketika orang berada pada waktu pagi, dua malaikat akan turun, satu daripadanya berdoa, "Ya Allah! Berikanlah sesuatu gantian kepada orang yang suka berderma." Sementara yang lain berdoa, "Ya Allah. Berikanlah kebinasaan kepada orang yang bakhil!" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud memberikan gantian kepada penderma dalam doa ini ialah mempermudahkan jalan datangnya rezeki dan menjadikan dia dihormati masyarakat, sedangkan orang yang kikir akan dijadikan sebaliknya.

Maksud orang yang kikir dibinasakan ialah harta yang dikeluarkan itu tidak memberi berkat kepada dirinya.

Infak melahirkan kasih sayang

Syaitan berdusta apabila membisikkan infak membawa kemiskinan kerana mengumpulkan harta tanpa dikeluarkan zakatnya sama ada yang wajib atau sunat, bakal menimbulkan kebencian orang dan mengundang permusuhan serta pelbagai jenayah. Pada hakikatnya infak melahirkan kasih sayang, perpaduan dan kebahagiaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki." (Surah al-Saba, ayat 39)

Allah SWT menjanjikan keampunan dan limpah kurnia-Nya kepada orang yang berinfak dan berkorban di jalan-Nya. Di sini keampunan mendahului kurnia kerana keampunan adalah anugerah yang sangat besar. Sedangkan limpah kurnia adalah nikmat tambahan kepada keampunan.

Pengampunan dosa dan limpah kurnia adalah lanjutan kepada pemberian sedekah dan infak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana api memadamkan air." (Riwayat Ahmad)

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X