Khamis, 6 Oktober 2016 | 2:00pm

Dedah penyelewengan rumah kos sederhana rendah di PP


DATUK Huan Cheng Guan menunjukkan gambar kenderaan mewah penghuni rumah kos sederhana rendah di Bukit Gambier pada sidang media di Georgetown, tengah hari tadi. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini, mendedahkan penyelewengan sebuah projek perumahan jenis kos sederhana rendah yang membabitkan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.

Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan, berkata sebuah pembangunan perumahan di sini dipercayai dimiliki golongan berkemampuan, sekali gus tidak menepati syarat asas pemilikan iaitu pendapatan isi rumah sebanyak RM3,500.

Katanya, semakan di laman sesawang hartanah mendapati beberapa unit kediaman di pangsapuri berkenaan turut disewakan dan dijual secara terbuka kepada pihak ketiga.

"Projek perumahan ini baru siap dua tahun lalu. Dalam syarat kelayakan rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik kerajaan negeri, rumah ini mesti diduduki dan tidak boleh dijual atau disewakan kepada orang lain mengikut tempoh tertentu.

"Justeru, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan semua bukti ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat supaya mereka dapat menyiasat perkara sebenar yang berlaku," katanya pada sidang media di sini, tengah hari tadi.

Berita Harian X