Khamis, 6 Oktober 2016 | 11:57am

7 didakwa miliki kad pengenalan palsu


TUJUH warga asing mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu serta milik orang lain. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Tujuh warga asing, termasuk dua wanita mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu serta milik orang lain.

Tiga tertuduh, Junaid Kasim, 22; Abdu Rajim Abdul Karim, 38; masing-masing dari selatan Filipina, manakala Julman Anjam, 22 dari Indonesia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mengikut pertuduhan, Junaid didakwa memiliki satu kad pengenalan palsu dan menggunakan dua kad pengenalan orang lain di Jalan Geharu 11, Taman Masai dekat sini, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi Jumaat lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun penjara atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM3,000 terhadap tertuduh selain memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan, jika gagal membayar denda.

Dua lagi tertuduh yang didakwa mengikut pertuduhan dan peraturan sama masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM3,000.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, empat tertuduh, Atika Sri Pujiati Bambang Dwi Pujiantoro, 30; Jamil Yunus, 38, masing-masing dari Indonesia dan Ramlah Apasah, 56, serta Timha Mohd Nasir, 22, dari selatan Filipina, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Semua tertuduh didakwa kerana memiliki kad pengenalan palsu pada tarikh, waktu dan tempat sama dan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun. Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Fazly Abd Razak dan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Ashgar Mohd Hussain, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X