Rabu, 26 November 2014 | 9:14pm

DBKL lancarkan terminal tempahan MyTeksi di 14 lokasi

KUALA LUMPUR: Terminal tempahan MyTeksi dilancarkan hari ini di 14 lokasi di bandar raya ini bagi kemudahan pelancong dan orang ramai.

Selain boleh menempah teksi dengan lebih mudah, pelancong dan orang ramai boleh menggunakan tablet yang disediakan untuk melayari laman web 'Visit KL' bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai Kuala Lumpur.

Terminal itu disediakan di Muzium Bank Negara, Galeri Seni, Pasar Seni, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Istana Budaya, Taman Rama-Rama, Galeri KL, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Muzium Negara, Balai Seni Visual Negara, Muzium Diraja, Pusat Lawatan Royal Selangor, Sasana Kijang dan KL City Walk.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, ketika merasmikan pelancaran terminal itu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, berkata kemudahan itu disediakan atas kesedaran bahawa perkhidmatan teksi memainkan peranan penting dalam memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan.

"MyTeksi diwujudkan untuk memastikan pengguna menikmati pengalaman menarik serta perkhidmatan yang bermutu sewaktu melawat Kuala Lumpur," katanya.

MyTeksi adalah aplikasi dalam talian yang membolehkan pengguna mendapatkan khidmat teksi secara selamat dengan caj mengikut meter.

- BERNAMA

Berita Harian X