Rabu, 5 Oktober 2016 | 9:39pm

Kenderaan perdagangan wajib pasang pemantul cahaya mulai 1 Januari

NADZRI (tengah) menunjukkan pemantul cahaya tiruan pada sidang media selepas demonstrasi pemantul cahaya (sisi dan belakang) kenderaan perdagangan di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Bermula 1 Januari depan, semua kenderaan perdagangan di seluruh negara diwajibkan memasang pelekat pemantul cahaya pada bahagian belakang dan sisi kenderaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron, berkata pelekat yang digunakan itu hendaklah mematuhi piawaian Malaysia Standard MS828:2011 yang mendapat pengiktirafan SIRIM.

"Buat masa ini hanya terdapat dua jenis produk pemantul cahaya yang mendapat pengiktirafan SIRIM QAS International iaitu dikeluarkan syarikat 3M Malaysia Sdn Bhd dan Orafol Refective Solution (Malaysia) Sdn Bhd.

"Pelekat ini dijual pada harga antara RM60 hingga RM80 dan akan dibekalkan dua syarikat terbabit untuk dijual di kedai eksesori serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Langkah mewajibkan pemasangan pelekat ini juga sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat pemasangan pelekat berkenaan bersama persatuan pengusaha kenderaan perdagangan sini malam tadi.

Nadzri berkata, kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi pemasangan pelekat berkenaan bakal berdepan tindakan denda RM300.

Katanya, JPJ juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi melakukan pemeriksaan di kedai eksesori yang menjual pelekat tiruan.

"Hasil pemeriksaan awal kita dapati memang ada pihak tertentu yang menjual pelekat tiruan termasuk menggunakan logo JPJ bagi menarik pembeli.

"Namun kita mempunyai alat khusus untuk memeriksa sama ada pelekat itu asli atau tiruan. Pelekat asli mampu dilihat pada jarak 400 meter pada waktu malam," katanya.

Berita Harian X