Rabu, 5 Oktober 2016 | 5:19pm

Hukuman berat menanti 9 warga Australia


GELAGAT penonton luar yang memakai seluar dalam bercorak jalur gemilang ketika mereka turun ke litar sejurus tamat perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia 2016 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Hukuman berat akan diambil mengikut peruntukan undang-undang bersesuaian terhadap individu yang mempersendakan Jalur Gemilang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya meneliti hukuman setimpal untuk dikenakan terhadap sembilan warga Australia yang melakukan aktiviti tidak bermoral itu, Sabtu lalu.

Tindakan tegas itu, katanya, wajar diambil supaya maruah Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan Malaysia tidak diperlekeh sesuka hati dan digunakan sebagai bahan gurauan.

"Benda (tindakan memakai seluar dalam dengan corak Jalur Gemilang) ini tidak dilakukan untuk suka-suka, sebaliknya mempunyai muslihat politik tersembunyi.

"Menteri Luar Australia (Julie Bishop) sendiri menyatakan bahawa Malaysia patut ambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap rakyat mereka yang memalukan negara sendiri.

"Sehubungan itu, kita melihat hukuman menerusi pelbagai undang-undang yang patut dikenakan terhadap mereka, termasuk Seksyen 14 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Jenayah Kewangan dan Membiayai Keganasan Antarabangsa (IFCTF) 2016, sebentar tadi.

Sabtu lalu, polis menahan sembilan lelaki warga Australia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas didakwa menghina negara dengan memakai seluar dalam Jalur Gemilang.

Mereka direman empat hari berakhir esok untuk siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 14 kanun sama iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Berita Harian X