Rabu, 5 Oktober 2016 | 12:11am

Cabaran daulat bahasa ibunda makin kritikal


MOHD Khair (dua dari kanan) dan Abang Sallehuddin (kanan) bersama ahli panel Forum Membina Peradaban Nasionalisme Serantau Melalui Sastera di Universiti Indonesia, Jakarta.

SASTERAWAN Malaysia dan Indonesia sepakat gejala peminggiran bahasa kebangsaan di negara masing-masing menjadi cabaran getir dalam konteks nasionalisme, sekali gus terkena sastera dan budaya.

Justeru, penggiat sastera menyarankan Malaysia dan Indonesia untuk melihat kedudukan bahasa Melayu itu, berikutan pengaruh bahasa Inggeris dengan pandangan yang lebih sedar.

Dalam konteks negara ini, pendidikan dicabar dengan kewujudan dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan Program Dwibahasa (DLP) mulai tahun ini.

Kerisauan itu diluahkan pada Forum Membina Peradaban Nasionalisme Serantau Melalui Sastera sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IBF) di Universiti Indonesia (UI), di sini.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, berkata perbincangan tentang nasionalisme dalam sastera hari ini perlu dianjak ke ruang yang lebih besar berikutan perkembangan semasa.

Kedudukan bahasa Melayu jadi persoalan

"Perbincangan itu perlu mengangkat persoalan seperti apakah budaya kita akan kekal relevan atau di manakah kedudukan bahasa Melayu dalam dekad mendatang.

"Isu ini sewajarnya menjadi persoalan sebenar yang dilihat bersama, bahkan merentasi sempadan negara," katanya.

Yang turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Dr Siti Zainon Ismail dan pengarang Indonesia, Ibnu Wahyudi.

Anwar turut menegaskan karya sastera awal di kedua-dua negara banyak mengangkat kisah politik dan nasionalisme seperti karya SN, Datuk Abdullah Hassan dan SN, Arenawati, manakala di negara seberang pula dengan tokoh seperti Pramoedya Ananta Toer.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan, persoalan nasionalisme untuk pengarang kini bukan saja berubah landskapnya, bahkan memberikan cabaran lebih besar.

"Di Malaysia, kami berharap ada satu bangsa dan satu bahasa tetapi realitinya berdepan gejala peminggiran bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Ibnu Wahyudi juga senada dengan Anwar apabila melahirkan kerisauan terhadap pengaruh bahasa Inggeris juga mula membesar di Indonesia.

"Kita bukanlah menafikan kepentingan bahasa Inggeris tetapi kita mengharapkan penggunaannya tidaklah sampai sehingga menjejaskan bahasa ibunda," katanya.

IBF yang masuk penganjuran ke-36 pada tahun ini, menyaksikan Malaysia dijemput sebagai negara tamu. Ia berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta bermula semalam hingga Ahad ini.

Tamat...

Berita Harian X