Selasa, 4 Oktober 2016 | 5:30pm

Bekas setiausaha sulit Almarhum Sultan Selangor meninggal dunia

SHAH ALAM: Bekas setiausaha sulit Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Mohd Yusoff Amin, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Puah, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 86 tahun, menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga pada jam 5.30 pagi.

Anak ketiga Allahyarham, Mohd Azam Mohd Yusoff, 52, berkata bapanya sudah lama uzur dan bertambah tenat sejak tiga bulan lalu.

"Jenazah ayah dimandi dan dikafankan di surau Kampung Puah selepas solat Zuhur dan dikebumikan di Makam Diraja di sini, atas perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Makam Diraja pada jam 2.20 petang dan selamat dikebumikan pada jam 3.35 petang.

Turut hadir mencemar duli, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Mohd Yusoff yang juga bekas orang besar Daerah Petaling, pernah berkhidmat dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum bersara pada tahun 1985.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Lela Yusof, 67, 12 orang anak, 30 cucu serta lima cicit.

33 dibaca
Berita Harian X