Isnin, 3 Oktober 2016 | 4:11pm

Benteng tinggi selesaikan masalah air pasang besar


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrol Hisham Hashim (tiga dari kanan) bersalaman dengan Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad (dua dari kanan) sambil diperhatikan sebahagian Ahi Majlis MBAS semalam. - Foto Rahmat Othman

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi pembinaan benteng tinggi di kawasan pesisiran pantai di Kuala Muda dan Kuala Kedah sebagai usaha menyelesaikan masalah air pasang besar setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membincangkan masalah ini supaya dapat diselesaikan segera.

Katanya, pembinaan terbabit akan dilakukan segera selepas peruntukkan diluluskan Kerajaan Pusat.

"Perkara ini menjadi isu utama selepas kejadian air laut pasang paling besar berlaku tahun ini, sehingga mengakibatkan kerugian harta benda penduduk dan melimpah masuk ke dalam sawah menyebabkan kerosakan.

"Kita akan beri keutamaan di Kuala Muda, dekat ini dahulu berikutan kejadian air pasang besar baru-baru ini menyebabkan ramai penduduk berpindah dan kerosakan harta benda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan dengan Datuk Bandar Alor Setar baharu, Datuk Mohd Zohdi Saad di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar di sini, hari ini.

BH baru-baru ini melaporkan empat negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah berisiko mengalami banjir besar berikutan fenomena air pasang besar luar biasa yang dijangka berlaku.

Kedah mencatatkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 769 orang, diikuti Selangor (221) dan Perak (67).

Berita Harian X