Ahad, 2 Oktober 2016 | 8:38pm

PKR Sabah kesal Lajim dan Terence keluar parti


LAJIM Ukin ketika memberi ucapan mengisytiharkan keluar parti, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: PKR Sabah dalam satu kenyataan, di sini, menyatakan kekesalan terhadap tindakan bekas pengerusi parti itu, Datuk Lajim Ukin dan Ketua Penerangannya, Terence Siambun yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Roland Chia, berkata berikutan itu kepemimpinan PKR Sabah akan distruktur semula menerusi satu mesyuarat tergempar pemimpin dari semua 25 cabang parti itu di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, berkata pihaknya akan mendapatkan kata sepakat mengenai penstrukturan itu, termasuk pemimpin yang bakal menggantikan tempat Lajim.

"PKR akan terus bertapak di Sabah sejajar sokongan pemimpin di semua cabang dan kepemimpinan tertinggi parti dalam perjuangan menegakkan perubahan institusi, keadilan untuk semua, ketelusan dan fungsi undang-undang.

"Selepas penstrukturan semula kepemimpinan diselesaikan, PKR akan berbincang dengan rakan dalam Pakatan Harapan Sabah iaitu DAP dan AMANAH untuk bekerjasama dengan parti tempatan mengenai formula sesuai memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang," katanya, dalam sebentar tadi.

Dr Roland dan seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu ADUN Api-Api, Christina Liew adalah dua pemimpin PKR Sabah yang masih kekal dalam parti itu berikutan tindakan Lajim dan Terence keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa PKR Sabah kekal kukuh meskipun pemimpinnya keluar parti dan membawa haluan masing-masing.

"Satu proses penambahbaikan organisasi parti akan dilaksana dalam masa terdekat untuk memantapkan saf kepemimpinan dan memastikan agenda reformasi terus menjadi teras perjuangan menegakkan keadilan Sabah.

"PKR Sabah akan terus menjadi komponen penting dalam kalangan pembangkang di Sabah dan akan memainkan peranan mustahak dalam perjuangan menjamin hak dan autonomi Sabah dalam Malaysia," katanya.

42 dibaca
Berita Harian X