Ahad, 2 Oktober 2016 | 7:07pm

Kerajaan Terengganu sumbang RM100,000 bantu Muhamad Syafi

AHMAD Razif (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Mohd Syahrizan (kiri) bapa kepada Muhammad Syafi ketika melawat di Kampung Padang Landak, Jertih. - Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Penderitaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nyior Tujuh, Muhammad Syafi Mohd Syahrisan, 7, yang mengidap penyakit 'Infantile Fibrosarcoma' mendapat perhatian pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib malangnya, termasuk Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Muhamad Syafi, yang tinggal di Taman Selasih, Padang Landak, dekat sini, mula dikesan mengalami penyakit berkenaan pada Ogos 2014 selepas disahkan menerusi pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Murid terbabit kini terlantar di rumah dan dijaga kedua ibu bapanya.

Hari ini, Menteri Besar berkunjung ke rumah keluarga terbabit untuk melihat secara lebih dekat penderitaan Muhamad Syafi.

Turut serta Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof, Nawi Mohamad; Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Ahmad Razif meluangkan masa lebih dua jam mendengar sendiri penyakit dihadapi murid terbabit daripada ayahnya, Mohd Syahrizan Ibrahim, 39.

Bersimpati dengan nasib Muhammad Syafi, Ahmad Razif mengumumkan bantuan segera RM100,000 kepada keluarga pelajar terbabit bagi tujuan perubatan.

Bantuan berkenaan disalurkan melalui Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih yang akan menyelaras urusan rawatan dan perubatan Muhamad Syafi.

"Pesakit terbabit memerlukan kos membeli ubat-ubatan RM4,000 sebulan dan keluarga tidak mampu untuk menanggungnya," kata Ahmad Razif yang ditemui media selepas melawat murid berkenaan.

Malah, katanya, kerajaan negeri sedia membantu menguruskan rawatan lanjut jika murid berkenaan memerlukan rawatan di luar negara.

Beliau berkata, setakat ini Muhamad Syafi adalah pesakit pertama di Pantai Timur dikesan menghidap penyakit berkenaan.

Berita Harian X