Ahad, 2 Oktober 2016 | 4:50pm

EPL: Daley Blind yakin 'set piece' United menjadi


PEMAIN Manchester United, Daley Blind. - Foto Reuters

MANCHESTER: Daley Blind amat yakin Manchester United boleh terus menjadikan 'set-piece' sebagai senjata ampuh sepanjang musim ini tatkala Red Devils sedang bersiap menghadapi Stoke City di Old Trafford, malam ini.

Tiga daripada empat gol United ketika berdepan Leicester City minggu lalu hadir menerusi set-piece sepakan sudut.

Blind terbabit dalam ketiga-tiga gol itu selepas diberi tanggungjawab mengambil sepakan sudut bagi menggantikan kapten Wayne Rooney yang dimasukkan di hujung permainan.

Bintang antarabangsa Belanda itu amat yakin betapa United akan terus mengancam daripada situasi bola mati.

"Saya fikir kami boleh menjaringkan lebih banyak gol daripada set-piece," katanya kepada United Review.

"Kami mempunyai ramai pemain yang tinggi, yang mana sangat berbahaya, dan saya amat gembira dengan hantaran saya yang menjadi.

"Rakan sepasukan saya berada pada kedudukan betul untuk menanduk masuk bola (menentang Leicester) dan ia satu perasaan yang hebat untuk terbabit dalam tiga daripada empat gol seperti itu."

Sepakan sudut rendah segera Blind kepada Juan Mata membuka laluan kepada jaringan Marcus Rashford untuk gol ketiga United di Old Trafford minggu lalu, dan pertahanan itu berpuas hati kerana ia membuahkan hasil.

"Kami juga cuba melakukannya beberapa kali pada musim lalu," tambahnya.

"Ia tidak menjadi atau membawa kepada gol tetapi kami sangat berbahaya dengan sepakan sudut sebegitu. Saya tidak pasti jika sama ada orang mengingatinya lagi atau tidak.

"Dan ia satu perasaan hebat akhirnya gol seperti itu berjaya dilakukan sewaktu menentang Leicester." - Agensi

Berita Harian X