Ahad, 2 Oktober 2016 | 3:54pm

800 tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi dirai


PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan menyampaikan sijil watikah kepada pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi pada majlis yang diadakan di Dewan Utama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MITEC, Pasir Gudang, hari ini. - Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Seramai 800 tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi diraikan bagi mengenang jasa mereka yang komited mendidik pengamal seni mempertahankan diri pada majlis yang diadakan di Dewan Utama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MITEC, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata usaha pemimpin dalam menyampaikan ilmu, seni, mahupun jurus silat perlu dimanfaat oleh anak muda khususnya bagi membentuk dan mempertahankan jati diri.

"Seni silat adalah sebahagian tradisi yang tidak hanya mengajar rakyatnya untuk lebih gigih berusaha, malah perlu dikekalkan sebagai seni warisan pada masa akan datang.

"Semangat dan disiplin seni silat yang sejati perlu diteruskan bagi memastikan seni silat tetap sebati dalam budaya warisan kita," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan selepas merasmikan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pewaris Mutlak Silat Cekak, Syeikh Dr Md Radzi Hanafi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 menerusi Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Johor bagi menjalankan aktiviti membudayakan belia dalam seni mempertahankan diri, sekali gus mengekalkan seni warisan bangsa.

Zulkurnain berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada setiap program dan aktiviti persatuan, selain menyeru kira-kira 22,000 ahli yang ada dalam persatuan itu memanfaat serta membabitkan diri sepenuhnya dalam aktiviti berkaitan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, persiapan SUKMA 2020 yang mana Johor dipilih sebagai tuan rumah, pihaknya dijangka mewujudkan sekretariat khas, selain akan bekerjasama dengan universiti awam (UA) bagi mempersiapkan gelanggang sukan.

Katanya, pihaknya difahamkan SUKMA 2020 itu akan membabitkan penambahan enam acara yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 acara akan dipertandingkan.

"Kita dalam fasa terakhir bagi menetapkan lokasi stadium yang akan digunakan, selain mengambil kira pembinaan dan persiapan gelanggang sukan untuk jangka masa akan datang kerana daripada segi penyelenggaraan perlu dititikberatkan pengurusannya," katanya.

Berita Harian X