Ahad, 2 Oktober 2016 | 12:08am
ANTARA cabaran yang harus ditempuhi peserta ketika menunggang ATV. - Foto Osman Adnan
PENGARAH Urusan Nur Adventure Services Sdn Bhd, Faizal Mohamad Hassan Mukhtar. - Foto Osman Adnan

Antara takut dan seronok naik ATV


SELAYANG: Kegiatan menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) kini menjadi pilihan untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di hutan rimba.

Justeru, tidak hairanlah ramai di kalangan generasi muda gemar menghabiskan masa di hujung minggu dan cuti umum atau waktu terluang dengan menunggang ATV sama ada di kawasan hutan atau pantai.

Sebenarnya cara menunggang ATV hampir sama seperti menunggang motosikal, namun ia lebih stabil dan selamat jika dibawa ke permukaan tidak rata seperti menaiki dan menuruni bukit atau cerun kerana mempunyai tiga atau empat tayar.

Bagaimanapun, risiko untuk kenderaan ATV itu terbalik ke kiri atau kanan tetap ada jika penunggangnya kurang mahir mengimbangi badan terutama ketika menaiki atau menuruni kawasan cerun dan berbukit.

Setiap penunggang ATV mesti bijak dan tahu bila keadaan yang sesuai untuk menekan minyak dan kedua-dua brek tangan. Soal penggunaan gear, ia agak mudah kerana hanya ada gear untuk memandu dan mengundur.

Bagaimanapun, pemandu perlu sentiasa mengikut nasihat pemandu arah bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini, tersesat dan kemalangan.

Bagi orang ramai berminat, mereka boleh mencuba mendapatkan pengalaman menarik ini jika berkunjung ke Nur Laman Bestari Eco Resort (Nur Laman Bestari) di Sungai Tua di Ulu Yam, Selangor sambil menikmati suasana hutan dan alam semula jadi yang masih terpelihara.


PARA peserta bergambar bersama sebelum memulakan aktiviti menunggang ATV. - Foto Osman Adnan


PELAJAR program siswazah UKM, Mohamad Redwani Mohd Jasni. - Foto Osman Adnan

Pengarah Urusan Nur Adventure Services Sdn Bhd, Faizal Mohamad Hassan Mukhtar memberi jaminan 10 ATV yang disediakan pihaknya mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan terutama bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

"Kami menyediakan pelbagai pakej kepada pelanggan yang pertama kali menunggang ATV. Mereka digalakkan untuk mencuba di laluan mudah termasuk mengelilingi kawasan resort untuk mendapat keyakinan sebelum meredah laluan hutan yang lebih mencabar.

"Penunggang mesti sentiasa mematuhi arahan keselamatan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pakaian bersesuaian termasuk topi keledar dan kasut selain," katanya.

Seorang penunggang wanita yang juga Timbalan Presiden Kelab Ekorelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Huda Abdul Razak yang berpengalaman mengendalikan ATV mengakui, laluan di Nur Laman Bestari mencabar memang mencabar terutama ketika menuruni cerun bukit serta laluan sempit.


TIMBALAN Presiden Kelab Ekorelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Huda Abdul Razak. - Foto Osman Adnan

"Laluan di sini berbeza sehinggakan saya menjerit dan menggeletar tangan ketika menuruni bukit. Jika tidak kerana kekuatan fizikal dan mental sudah pasti saya tidak boleh menamatkan pengembaraan ini," katanya.

Pelajar program siswazah UKM, Mohamad Redwani Mohd Jasni pula mengalami detik pengalaman yang berbeza kerana menghadapi sedikit kesukaran mengawal ATV.

"Pada mulanya memang saya gementar dan takut terutama ketika menunggang ATV untuk menaiki bukit dan menuruni cerun di sini. Ini pengalaman pertama...selepas ini saya pasti akan datang sekali lagi ke sini untuk mencuba kali kedua," katanya.


ATV lebih stabil dan selamat jika dibawa ke permukaan tidak rata seperti menaiki dan menuruni bukit atau cerun kerana mempunyai tiga atau empat tayar. - Foto Osman Adnan

ANTARA ATV yang digunakan di Nur Laman Bestari Eco Resort. - Foto Osman Adnan

Info bayaran menunggang ATV di Nur Laman Bestari:

  • 1. Easy Ride (resort) : RM30
  • 2. Explore Ride (laluan pinggir hutan dan resort): RM50
  • 3. Advance Ride (laluan tengah hutan dan resort) RM100
  • 4. Ekstreme Ride (laluan ekstrem dalam hutan dan resort)
  • 5. Night Ride (resort dan pinggir hutan)

60 dibaca
Berita Harian X