Ahad, 2 Oktober 2016 | 12:05am
HIASAN dalaman Mutiara Taman Negara Resort (MTN). - Foto Saddam Yusoff
HIASAN dalaman Mutiara Taman Negara Resort (MTN). - Foto Saddam Yusoff
HIASAN dalaman Mutiara Taman Negara Resort (MTN). - Foto Saddam Yusoff

Resort digemari pelancong asing


MUTIARA Taman Negara Resort (MTN). - Foto Saddam Yusoff

SEBUT saja Mutiara Taman Negara Resort (MTN), pasti sinonim dengan mat salleh.

Semuanya gara-gara kebanjiran pelancong asing terutama dari Barat yang gemar menikmati pengalaman berada di hutan hujan tropika apabila MTN satu-satunya resort terletak di kawasan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang yang dikategorikan antara hutan simpan paling tua di dunia, sekali gus membuatkan mereka sangat teruja.

Kebiasaannya menjelang musim panas di Eropah setiap Julai hingga Ogos, MTN menjadi destinasi pilihan kebanyakan pelancong dari Belanda, Jerman, Perancis dan Itali mengisi percutian mereka menerokai keindahan flora serta fauna yang terdapat di Taman Negara.

Selain itu, mereka gemar menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan yang terletak bersebelahan resort kerana menampilkan pengalaman serta pemandangan menakjubkan!

Pengurus Besar MTN, Nurul Nuzairi Mohd Azahari menjelaskan, resort yang mempunyai 87 bilik terdiri daripada kategori chalet keluarga, suite dan banglo kerap dikunjungi pelancong Barat kerana mereka sangat menghargai alam semula jadi atau hutan hujan tropika yang terdapat di negara kita.


MUTIARA Taman Negara Resort (MTN) terletak di kawasan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang. - Foto Saddam Yusoff

"Apabila meneroka hutan di sini, mereka pasti melalui MTN yang terletak di tebing Sungai Tembeling dan Sungai Tahan, kawasan Taman Negara, sekali gus menjadi akses paling mudah menjelajahinya pada bila-bila masa kerana kedudukannya sebagai pusat sehenti sangat menjimatkan masa, semua aktiviti hutan dan sungai hanya berada depan mata.

"Bagi saya, sebenarnya nilai tambah MTN kerana kedudukannya terletak di Kuala Tahan yang menjadi destinasi pelancongan popular.

"Satu dunia ingin tahu di mana Taman Negara Kuala Tahan yang dianggap paling lasak dan mencabar, selain menjanjikan pengalaman unik sehingga membawa kepada kunjungan berterusan saban tahun daripada pelancong sama yang membawa lebih ramai rakan senegara bersama mereka.

"Ini yang kita mahu, dunia mengenali Malaysia menerusi alam semula jadi, manakala MTN menyediakan pelbagai kemudahan dan menjanjikan keseronokan. Lazimnya pelancong Eropah sanggup berbelanja besar semata-mata ingin menerokai hutan kita," katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Koen Gerrits dan Linda Dominguez, kedua-duanya dari Belanda ketika ditemui, mengakui sangat menggemari masakan Melayu seperti patin tempoyak dan patin gulai asam rom, selain ulam-ulaman bersama sambal hitam Pahang yang disediakan daripada menu tradisional Malay hidang.

Tambah Nurul lagi, kebanyakan pelancong menginap di MTN sekadar tiga atau empat malam saja kerana selepas itu mereka akan menuju ke Cameron Highlands dan Pulau Perhentian untuk memperoleh suasana alam semula jadi di tanah tinggi serta laut pula.

"Justeru, semua pengalaman dan keseronokan mereka bermula di Kuala Tahan," jelasnya.


PASANGAN suami isteri dari Belanda, Koen Gerrits dan Linda Dominguez. - Foto Saddam Yusoff

FAKTA NOMBOR

* 130 juta

tahun usia Taman Negara Kuala Tahan

* 4.5 hektar

keluasan resort

* 95 peratus

pelancong dari Belanda, Jerman, Perancis dan Itali

* 1 jam

perjalanan dari Jerantut ke Kampung Kuala Tahan

INFO

  • Dipercayai usia hutan hujan tropika, Taman Negara Kuala Tahan lebih tua daripada Hutan Amazon di Brazil.
  • Sekiranya menggunakan perkhidmatan bot dari Jeti Kuala Tembeling ke Jeti Kuala Tahan ia akan memakan masa perjalanan hampir tiga jam.
  • Destinasi Kampung Kuala Tahan terletak bersebelahan Taman Negara membuka banyak peluang pekerjaan sebagai pemandu alam semula jadi yang mahir mengenai flora dan fauna.
  • Menyusuri arus deras menaiki perahu jalur atau rapids shooting sekitar Kuala Trenggan di Sungai Tembeling dan pengalaman mudik ke hulu Sungai Tahan menuju ke santuari kelah di Lubuk Tenor serta berkhelah di Lata Berkoh antara aktiviti menarik ditawarkan kepada tetamu resort.

16 dibaca
Berita Harian X