Sabtu, 1 Oktober 2016 | 4:04pm
ANTARA babak dalam filem pendek Pagari Bulan.

Pagari Bulan terima pujian di Kazakhstan


ANTARA babak dalam filem pendek Pagari Bulan.

KUALA LUMPUR: Pengarah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin bersyukur apabila filem pendek arahannya, Pagari Bulan menerima penghormatan apabila terpilih untuk tayangan tayangan perdana sempena Eurasia International Film Festival Edisi Ke-12 (EURASIAIFF) di Almaty, Kazakhstan, yang berakhir semalam.

Raja Mukhriz mengakui tidak menjangka Pagari Bulan akan 'terbang' jauh hingga terpilih untuk tayangan pada festival filem di luar negara, sekali gus membuktikan karya tempatan mampu menyaingi produksi luar.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah membayangkan karya saya akan ditayangkan di festival luar negara. Sambutan yang diberikan juga di luar dugaan apabila dewan bagi tayangan filem pendek itu penuh.

"Pagari Bulan pada awalnya, dihasilkan untuk mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam pertandingan Asia Youth International Film Festival yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober ini di Sintok, Kedah.

"Sebagai pelajar yang mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di UUM, saya dan beberapa rakan lain termasuk Pekin Ibrahim terpanggil untuk menghasilkan sebuah karya yang mampu membuka mata pihak luar terhadap kemampuan kita.

"Pada masa sama, ia juga akan menyuntik semangat dan daya saing pelajar muda UUM terutama yang mengikuti jurusan filem atau industri kreatif untuk turut sama menghasilkan karya terbaik," katanya.

Pagari Bulan adalah produksi tunggal dari Malaysia yang terpilih bertanding dalam kategori filem pendek pada festival itu. Kategori itu buat julung kali diperkenalkan pada acara yang menerima pengiktirafan International Federation of Film Producers Associations (FIAPF).

Sementara itu, Pekin menyifatkan pemilihan Pagari Bulan untuk tayangan pada segmen World Premier membuktikan cara penyampaian dan penghasilan produksi tempatan diterima serta diakui penggiat seni luar.

Pagari Bulan memaparkan mengenai budaya kaum Bajau Laut yang kurang diketahui umum dan ia bertepatan dengan moto yang cuba diangkat festival itu iaitu 'Love As The Basis of Human Life and A Path of Harmonisation of Cultures'.

"Kehidupan kaum Bajau Laut atau Sea Gypsie itu kami rakamkan di kawasan kediaman mereka di Pulau Semporna, Sabah ketika menghasilkan dokumentari Madness Of Borneo.

"Secara tidak langsung, pihak luar dapat melihat dan mengenali budaya serta keindahan Pulau Semporna menerusi paparan sinematografi yang mengagumkan menerusi filem pendek ini," katanya.

Berita Harian X