Sabtu, 1 Oktober 2016 | 3:59pm

RUU 355: PAS hargai sokongan UMNO


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada majlis Himpunan Harapan Semua (HARAP) di Chukai, malam tadi. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menghargai sokongan UMNO terhadap pembentangan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Dewan Rakyat, bulan lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, menyelar tindakan DAP yang berterusan membantah pembentangan RUU 355.

"PAS tidak akan bekerjasama dengan parti politik yang tidak menyokong RUU 355 terutama DAP walaupun kita pernah bersama.

"PAS tidak pernah mengubah prinsip perjuangan menegakkan undang-undang Islam di negara ini," katanya berucap pada majlis Himpunan Harapan Semua (HARAP) di sini, malam tadi.

Walaupun PAS berbeza pendapat dan ideologi politik dengan UMNO, katanya, parti itu memberi sokongan penuh terhadap pembentangan RUU 355.

"Jika diluluskan di Parlimen, undang-undang ini hanya membabitkan orang Islam dan meningkatkan martabat Mahkamah Syariah.

"Sehubungan itu, tiada sebab mengapa orang bukan Islam perlu takut kepada undang-undang ini kerana tidak membabitkan mereka," katanya.

Berita Harian X