Sabtu, 1 Oktober 2016 | 12:15am
MOHD Amin Azif, (kanan) bersama isterinya, Farah Yusof, mencari kerang bersama anak-anaknya di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin
PENGUNJUNG membawa keluarga mencari kerang di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin.
KANAK-KANAK, Qistina Mohd Amin, , bersama adiknya, Mohd Aidil Adam Mohd Amin, mencari kerang di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin.
SEJENIS kerang yang terdapat di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin.
PENGUNJUNG, Wan Asri Wan Ismail. - Foto Faris Zainuldin.ran
MOHD Zaki Jusoh, bersama isterinya, Siti Mariam, (tengah) mencari kerang di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin.
FATIMAH, (kanan) bersama suaminya, Zaid menjual kerang kepada pelanggan yang mengunjungi gerai kerang mereka di Kuala Semerak. - Foto Faris Zainuldin.

Sajian 'shell out' popularkan Sungai Kuala Semerak

 


PASIR PUTEH: Muara Sungai Kuala Semerak di sini, yang kaya dengan moluska, menjadikannya sebagai lubuk rezeki kepada keluarga nelayan tempatan serta tarikan pengunjung ke Tok Bali.

Kedudukannya yang strategik di laluan pantai berhampiran sempadan dua negeri berjiran, Kelantan dan Terengganu, membuatkan ia tidak putus daripada kunjungan orang ramai.

Bagi penggemar makanan laut khasnya 'shell out', sungai ini memudahkan orang ramai menikmatinya kerana lebih 10 gerai berkongsi rasa menjual sajian yang menjadi trend dalam kalangan generasi muda kini.

Fenomena air pasang surut dan tanah berlumpur sekitar Kuala Sungai Semerak ini, menjadikan ia habitat unik kepada pelbagai hidupan moluska seperti lala, lokan, tijah dan tiram.

Nelayan tempatan, Zaid Mahmad, 35, dan isterinya, Fatimah Roslan, 29, mengakui pelbagai lapisan masyarakat tertumpu ke muara sungai itu untuk mendapatkan hidupan laut umpama 'permata hitam' itu.

Zaid berkata, kuala yang berlumpur dan arus pasang surut air sentiasa berubah hingga ada kalanya hampir kering, memudahkan pencari kerang-kerangan mengesan hidupan itu dengan mudah.


ZAID menunjukkan pelbagai jenis kerang yang dijual antara RM4 hingga RM10 sekilo. - Foto Faris Zainuldin.


PENIAGA, Zaid Mahmad, menjual pelbagai jenis kerang yang diperolehi di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh.- Foto Faris Zainuldin.

"Selain kaya dengan pelbagai hidupan kerang-kerangan, lokasi dan pemandangan di kawasan ini juga menarik dengan menyajikan hutan paya bakau yang indah," katanya kepada BH.

Fatimah pula berkata, tumpuan pengunjung membawa rezeki kepada ramai penduduk kampung khususnya keluarga nelayan kerana berpeluang menjual hidupan itu yang dicari sendiri kepada pelanggan menerusi gerai tepi jalan di situ.

Fatimah berkata, lala dijual kepada pelanggan dengan harga RM5 bagi sekilogram; tiram (RM5); tijah (RM5); lokan (RM3) dan kerang pula dijual RM8 sekilogram.

Katanya, setakat ini hasil jualan itu berbaloi dan permintaannya semakin bertambah terutama pada hari Jumaat dan Sabtu serta cuti umum.

Pengunjung dari Tanah Merah, Mohd Zaki Jusoh, 45, antara pengunjung yang sering ke kawasan itu untuk mendapatkan pelbagai jenis kerang-kerangan terutama lala.

Beliau berkata, selain isteri, Siti Mariam, 40, beberapa ahli keluarganya termasuk anak dan adik beradik turut serta ke kawasan kuala sungai ini.

"Sangat menyeronokkan apabila beramai-ramai bersama keluarga mendapatkan sendiri lala yang begitu banyak di sini," katanya.


MOHD Zulkifli Hasan, (kiri) bersama isterinya, Khatijah Ismail, mencari kerang di muara sungai Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Faris Zainuldin.

WAN Asri Wan Ismail bersama anak-anaknya menunjukkan kerang yang di perolehi. - Foto Faris Zainuldin.

Pengunjung dari Kuala Besut, Terengganu, Wan Asri Wan Ismail, 43, berkata kuala sungai terbabit adalah lokasi yang mudah dikunjungi untuk mencari pelbagai jenis kerang-kerangan.

" Kami selalu ke sini dan sudah lali dengan keadaan airnya yang berlumpur dan pasang surut untuk mencari lokan dan lala.

"Ada hari-hari tertentu bergantung kepada rezeki kami memperoleh banyak lala," katanya yang turut membawa bersama pelbagai peralatan tambahan untuk memudahkan pencarian hidupan sungai itu.

 

 

Berita Harian X